SUKAN

TERKINI : June Wei ‘Smash’ pemain China di Masters Korea 2026

Pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, meneruskan prestasi cemerlang apabila melangkah ke suku akhir Korea Masters 2026 selepas menyingkirkan Dong Tian Yao, hari ini.

Dalam perlawanan pusingan 16 yang berlangsung di Gimnasium Asan Yi Sun-sin, June Wei hanya memerlukan dua set untuk menamatkan cabaran wakil China itu dengan keputusan 21-10, 21-13.

Perlawanan menyaksikan pemain negara menguasai permainan sejak awal, dengan corak serangan agresif serta kelebihan di jaring yang menyukarkan Tian Yao. Dominasi itu jelas apabila June Wei memenangi set pertama dengan jurang besar 21-10.

Cubaan Tian Yao untuk bangkit pada set kedua melalui permainan pantas tidak berhasil apabila June Wei terus konsisten mengutip mata. Kecekapan mengawal tempo permainan membolehkan beliau menamatkan aksi dengan kemenangan 21-13.

Kemenangan ini bukan sahaja memastikan kemaraan ke suku akhir, malah membalas kekalahan kepada lawan sama tahun lalu, sekali gus memberi suntikan moral menjelang peringkat seterusnya.