SUKAN

“Berhentilah! Berambuslah dari sukan ini kalau boleh”

KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sambil menggesa calon yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak supaya memberi ruang kepada kepimpinan baharu.

Megat D Shahriman berkata, Shahril yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) adalah individu paling layak untuk menerajui badan induk bola sepak negara berdasarkan penilaian dan pandangannya terhadap calon berkenaan.

Menurutnya, latar belakang dan perwatakan Shahril memberi keyakinan bahawa beliau mempunyai ciri diperlukan untuk menggalas tanggungjawab besar sebagai Presiden FAM.

“Saya sokong Datuk Seri Shahril Mokhtar. Sebagai individu yang saya percaya, ‘corporate man’, seorang bapa yang baik dan individu yang menarik.

“Saya percaya Shahril Mokhtar paling layak antara yang lain. Minta maaf saya nak cakap begitu, tapi paling layak, berilah dia peluang,” katanya yang pernah menyatakan kesediaan untuk merebut jawatan nombor satu FAM.

Dalam masa sama, Megat D Shahriman tidak berselindung apabila meminta calon lain yang sudah mempunyai pengalaman memegang jawatan dalam bola sepak supaya mempertimbangkan untuk berundur dan membuka ruang kepada muka baharu.

“Yang lain dah cukup masanya, dah pernah duduk, sudahlah! Berhentilah! Berambuslah dari sukan ini kalau boleh,” katanya.

Beliau berpandangan proses menentukan kepimpinan FAM perlu dibuat berasaskan merit dan keupayaan seseorang calon, bukannya kerana hubungan persahabatan atau kepentingan sesama individu dalam industri bola sepak.

Menurut Megat D Shahriman, kedudukan dalam badan induk bola sepak negara membawa tanggungjawab kepada masyarakat dan negara, sekali gus menuntut calon yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk melaksanakan perubahan.

“Kita tak boleh letak merit ini tidak ada bahasa kawan, brother, sahabat. Tidak. Merit ini sebab ini adalah milik rakyat, milik negara, milik semua orang.

“Kalau you tak layak, sudahlah! Sudah-sudahlah! Pergilah dari sukan bola ini, jaga cucu ke, jaga anak ke, pergi berniaga, jangan buang masa orang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongannya kepada Shahril tidak bermaksud mahu mendahului keputusan mengenai siapa yang akhirnya akan memenangi perebutan kerusi Presiden FAM.

Sebaliknya, beliau mahu pemilihan itu memberi tumpuan kepada individu yang diyakini mempunyai kemampuan untuk membawa perubahan kepada hala tuju bola sepak negara.

“Saya nak dia menang kalah itu kemudian, itu persoalan kedua. Yang penting orang akan tengok sama ada mereka nak sokong ini, harus sokong orang yang betul-betul boleh buat perubahan,” katanya.

Megat D Shahriman turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Shahril sekiranya calon berkenaan dipilih menerajui FAM, termasuk dalam usaha melakukan perubahan terhadap pengurusan dan hala tuju bola sepak negara.

“Saya kalau tak dapat jadi pun tak apa, saya boleh bersama dengan Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk revampkan bola sepak ini,” katanya.

Persaingan merebut kerusi Exco FAM bagi baki penggal 2025-2029 kini semakin mendapat perhatian selepas 31 calon dilaporkan melepasi proses saringan kelayakan.

Seorang calon dari Kelantan yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden 1 pula dilaporkan gagal memenuhi syarat pengalaman lima tahun dalam bola sepak.

Calon yang melepasi proses saringan berkenaan perlu mengesahkan sama ada menerima atau menolak pencalonan masing-masing sebelum 2 September 2026, jam 5.30 petang, selaras dengan Artikel 9 Kod Pemilihan FAM.

Shahril adalah antara nama yang disebut bakal bersaing untuk jawatan Presiden FAM bersama mantan Presiden, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.