Afiq Fazail, Faisal Abdul Halim, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah muncul antara nama yang menjadi perhatian menjelang pengumuman Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia musim 2025-2026 pada majlis Anugerah Liga M, malam ini.
Majlis berkenaan akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur dengan fokus utama terarah kepada perebutan anugerah tertinggi selepas penyandang empat musim berturut-turut, Arif Aiman Hanapi tidak tersenarai kali ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan empat pemain berkenaan mempunyai asas tersendiri untuk dipertimbangkan panel pemilihan berdasarkan sumbangan masing-masing kepada pasukan sepanjang musim.
Afiq dilihat memiliki kelebihan berdasarkan peranannya bersama Johor Darul Ta’zim serta pencapaian besar kelab itu yang menyapu bersih semua piala musim lalu.
Faisal pula mencuri perhatian menerusi impaknya bersama Selangor dan kebangkitan luar biasa yang dipamerkan selepas menjadi mangsa simbah asid, manakala Safawi mempunyai kelebihan daripada sudut jumlah jaringan selepas muncul penjaring terbanyak tempatan dalam Liga Super.
Ramadhan turut dianggap layak berada dalam kelompok calon selepas memberi impak maksimum kepada Kuching City yang mencipta sejarah muncul naib juara Piala Malaysia serta menamatkan Liga Super di tempat kedua.
“Afiq ada kelebihan atas peranannya bersama JDT dan pencapaian besar yang diraih kelab itu. Kalau dari segi mentaliti pula, saya lihat Faisal ada kelebihan. Dia boleh bangkit semula untuk menyinar di padang selepas insiden simbah asid.
“Mungkin kalau orang lain yang lemah semangat apabila dilanda musibah seperti itu, mungkin terus hilang (sentuhan). Namun Faisal berjaya bangkit semula dan mendapatkan rentak balik. Dia juga memberi impak kepada persembahan pasukan selain impak dalam menarik sokongan peminat.
“Namun, dia kurang dari segi pencapaian pasukan menjulang piala dan dia juga bukan penjaring terbanyak. Kalau nak lihat dari segi jumlah jaringan, Safawi ada kelebihan apabila dia muncul penjaring terbanyak tempatan dalam Liga Super.
“Bagaimanapun Safawi juga tidak menjulang piala. Ramadhan memberi impak maksima kepada Kuching City dengan mencipta sejarah muncul naib juara Piala Malaysia dan menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua.
“Banyak pertimbangan yang perlu diambil kira dan ia menjadi tugas berat kepada ahli panel untuk memilih pemenang MVP kali ini,” kata Zulakbal yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia.
Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata demikian kepada BH Sukan.
Perebutan musim ini menjadi lebih terbuka selepas Arif Aiman tidak tersenarai akibat kecederaan yang dialaminya pada November tahun lalu sehingga menyebabkannya terlepas banyak aksi.
Pemain sensasi berusia 24 tahun itu sebelum ini mencipta sejarah sebagai pemain pertama memenangi MVP selama empat musim berturut-turut pada 2021, 2022, 2023 dan 2024-2025.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan penjaga gol turut mencabar gelaran itu, Zulakbal menganggap peluang Haziq Nadzli dari Kuching City dan Ahmad Syihan Hazmi dari JDT sebagai sukar, namun tidak mustahil boleh berlaku.
Keputusan panel pemilihan malam ini bakal menentukan siapakah pemain pertama selepas Arif Aiman yang akan membawa pulang trofi MVP Liga M.
Senarai calon Anugerah Liga M 2025-2026
Penjaga Gol Terbaik
Ahmad Syihan Hazmi (Johor Darul Ta’zim)
Haziq Nadzli (Kuching City FC)
Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Selangor FC)
Pertahanan Terbaik
Quentin Cheng (Selangor FC)
Rodney Celvin Akwensivie (Kuching City FC)
Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC)
Pemain Tengah Terbaik
Afiq Fazail (Johor Darul Ta’zim)
Danial Amier Norhisham (Kuching City FC)
Nooa Laine (Selangor FC)
Penyerang Terbaik
Safawi Rasid (Kuala Lumpur City FC)
Faisal Abdul Halim (Selangor FC)
Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City FC)
Pemain Muda Terbaik
Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC)
Haziq Aiman Esa (Melaka FC)
Haziq Kutty Abba (Penang FC)
Jurulatih Terbaik
Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC)
Kim Pan-gon (Selangor FC)
Xisco Munoz (Johor Darul Ta’zim)
Pemain Import Terbaik
Bergson Da Silva (Johor Darul Ta’zim)
Chrigor Moraes (Selangor FC)
Petrus Shitembi (Kuching City FC)