Thailand menebus kekalahan di Sukan SEA dan Piala Dunia selepas menewaskan skuad kedua sepak takraw negara 2-0 pada final acara berpasukan lelaki Piala Raja Thai 2026 di Fashion Island Mall, Bangkok, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Thailand mengukuhkan penguasaan dalam kejohanan berkenaan dengan meraih kejuaraan kali ke-37 daripada 39 edisi sejak pertandingan itu mula dianjurkan pada 1985.
Malaysia memulakan cabaran menerusi regu pertama yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim, Muhammad Noraizat Nordin dan Kamarul Ezzad Kamarul Imran. Bagaimanapun, trio negara gagal menghalang Pornthep Tinbangbon, Jirasak Pakbuangoen dan Marukin Phanmakon yang memastikan Thailand memperoleh mata pertama menerusi kemenangan 15-7, 15-11.
Regu negara berdepan tekanan sejak set pembukaan apabila Pornthep menggunakan servis dan serangan yang kerap disasarkan ke kawasan Kamarul Ezzad. Corak permainan itu menyukarkan Malaysia membina kestabilan, sekali gus memberi ruang kepada tuan rumah mengawal tempo sebelum menamatkan set pertama 15-7.
Malaysia memperlihatkan peningkatan dalam set kedua dengan beberapa kali berada di hadapan. Namun, kelebihan berkenaan gagal dipertahankan apabila Thailand kembali menyusun permainan dan merampas kedudukan 11-9. Tuan rumah kemudian mengekalkan penguasaan sehingga menutup set berkenaan 15-11.
Dengan kedudukan 1-0, Malaysia mempertaruhkan Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zulefendi Sumari bagi regu kedua dalam usaha mengheret perlawanan kepada regu penentuan.
Namun, trio negara sekali lagi berdepan kesukaran menandingi kekuatan Thailand yang menurunkan Tanaphon Sapyen, Kritsanapong Nontakote dan Wuttinun Kamsanor. Malaysia tewas 9-15 dalam set pertama sebelum cuba meningkatkan tekanan dalam set kedua.
Usaha itu masih tidak mencukupi apabila Thailand mengekalkan kelebihan untuk menang 15-12, sekali gus melengkapkan kemenangan keseluruhan 2-0 dan memastikan gelaran kekal menjadi milik tuan rumah.
Kekalahan di pentas final itu turut menyaksikan Malaysia gagal menamatkan kemarau kejuaraan Piala Raja Thai yang berlarutan sejak kali terakhir muncul juara pada 1988.
Keputusan tersebut turut melengkapkan kempen mencabar buat skuad kedua negara selepas tindakan Persatuan Sepaktakraw Malaysia menghantar pasukan berkenaan menyaksikan Malaysia tewas buat pertama kali dalam sejarah kepada Filipina pada separuh akhir acara antara regu, minggu lalu.