SUKAN

“Insya-Allah sempat”

Peluang Bergson Da Silva untuk menyarung jersi Harimau Malaya semakin terbuka apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini dalam proses melengkapkan dokumentasi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bagi mendapatkan status pemain naturalisasi.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan proses berkenaan sedang berjalan dan memberi petunjuk positif mengenai kemungkinan Bergson mewakili skuad kebangsaan selepas pemain kelahiran Brazil itu melengkapkan syarat lima tahun beraksi di Malaysia.

Perkara itu menjadi perkembangan penting menjelang kempen Piala ASEAN FIFA bulan depan, dengan Bergson sebelum ini sudah menyatakan bahawa dirinya bersedia sekiranya layak dan dipanggil untuk mewakili negara.

“Biar saya semak dahulu mengenai Bergson, tetapi benda itu tiada masalah, saya rasa kalau proses dokumen lengkap, untuk Piala ASEAN FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) itu dia boleh mewakili (negara).

“Kami sedang lengkapkan proses dokumentasi,” kata Noor Azman ketika ditanya BH Sukan mengenai perkembangan terkini proses naturalisasi penyerang berusia 35 tahun tersebut.

Ditanya sama ada urusan itu mampu diselesaikan dalam masa terdekat dan membolehkan Bergson beraksi bersama Harimau Malaya dalam Piala ASEAN FIFA bulan depan, Noor Azman memberikan jawapan ringkas: “Insya-Allah.”

Bergson pula tidak pernah menyembunyikan kesediaannya sekiranya peluang bersama skuad kebangsaan menjadi kenyataan. Dalam satu video temu bual yang dimuat naik di laman Facebook JomUnited, penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu menjelaskan bahawa dia sudah melakukan persiapan dan hanya menunggu perkembangan seterusnya.

“Saya sangat hargai, terima kasih. Saya fikir, ya, saya melakukan persiapan dan saya bersedia untuknya (mewakili Malaysia). Jadi saya cuma tunggu apa yang akan berlaku untuk langkah seterusnya.

“Ia kerana kita tidak akan pernah tahu, tetapi saya gembira berada di sini dan saya tidak sabar untuk perkara ini,” katanya.

Bergson mula mencipta nama dalam Liga M selepas menyertai JDT pada 2021. Sejak itu, dia terus menjadi sebahagian daripada jentera Harimau Selatan dan kekal bersama kelab berkenaan sehingga kini.

Prestasinya turut disertai pencapaian besar di peringkat domestik apabila Bergson sudah menikmati semua kejuaraan tempatan bersama JDT. Pada masa sama, ketajamannya di hadapan gawang membolehkan pemain itu mengumpul beberapa anugerah individu sepanjang tempoh beraksi di Malaysia.

Dia dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik sebanyak tiga kali, masing-masing bagi musim 2022, 2023 dan 2024–25. Bergson turut menjadi penjaring terbanyak Liga Super bagi musim 2022, 2024–25 serta 2025–26.

Rekod konsisten itu menyaksikan namanya terus menjadi perhatian ketika FAM berusaha menyelesaikan dokumentasi berkaitan status naturalisasinya. Buat masa ini, proses berkenaan belum dimuktamadkan, namun kenyataan FAM menunjukkan laluan Bergson ke skuad kebangsaan boleh terbuka sebaik sahaja semua dokumen yang diperlukan dilengkapkan.