SUKAN

Komen Cheng Hoe selepas Wan Kuzain sah ‘tinggalkan’ Harimau Malaya

Malaysia menerima satu lagi tamparan menjelang aksi separuh akhir Piala ASEAN 2026 menentang Vietnam apabila tonggak tengah, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal terpaksa meninggalkan kem Harimau Malaya untuk kembali ke Amerika Syarikat.

Pemain berusia 28 tahun itu dipanggil pulang oleh kelabnya, Sporting JAX, ketika skuad kendalian Tan Cheng Hoe sedang meningkatkan persiapan bagi menghadapi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

Ketiadaan Wan Kuzain memberi kesan kepada perancangan pasukan terutama di bahagian tengah yang sudah berdepan masalah kecederaan. Pemain naturalisasi, Endrick Dos Santos masih dihimpit kecederaan yang dialaminya ketika Malaysia menentang Laos dalam aksi kedua Kumpulan B.

Situasi menjadi lebih mencabar selepas seorang lagi pemain tengah, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau mengalami kecederaan ketika aksi menentang Filipina dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Sabtu lalu.

Gabungan isu kecederaan dan kepulangan Wan Kuzain memaksa Cheng Hoe melakukan rombakan di bahagian tengah menjelang pertemuan dengan Vietnam. Cabaran itu lebih besar apabila lawan hadir dengan reputasi sebagai juara bertahan, sekali gus menuntut Harimau Malaya memastikan keseimbangan pasukan terus terpelihara.

Cheng Hoe mengakui kehilangan Wan Kuzain serta kecederaan beberapa pemain menjejaskan bahagian penting pasukannya. Bagaimanapun, pengendali berusia 58 tahun itu menegaskan motivasi pemain kekal berada pada tahap terbaik.

“Wan Kuzain pulang ke Amerika Syarikat pada Ahad lalu selepas beraksi menentang Filipina pada Sabtu lalu. Pasukan sekarang berdepan masalah di bahagian tengah dengan Aliff Haiqal pun mengalami kecederaan.

“Situasi itu memang menjelaskan pasukan terutama di bahagian tengah dengan dua atau tiga pemain lain juga cedera. Apabila Wan Kuzain pula terpaksa pulang ke Amerika, kita akan rindu dengan sentuhan pemain-pemain ini.

“Namun, sebagai jurulatih, saya perlu kekal positif dan merancang yang terbaik buat pasukan berdasarkan pemain yang ada. Apa yang saya lihat, motivasi semua pemain juga berada pada tahap terbaik untuk berdepan Vietnam,” katanya kepada BH Sukan.

Bagi Wan Kuzain, kempen pertamanya bersama Harimau Malaya meninggalkan detik bermakna khususnya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dia membuka akaun jaringan bersama skuad negara di gelanggang berkenaan menerusi sepakan percuma menarik ketika membantu Malaysia membelasah Laos 4-0. Ketika menentang Filipina pula, Wan Kuzain disenaraikan dalam kesebelasan utama buat kali pertama.

Pemain tengah itu turut menjadi penyumbang kepada jaringan tunggal perlawanan yang diledak G Pavithran pada minit ke-16. Jaringan berkenaan membantu Malaysia menewaskan Filipina dan mengesahkan kemaraan ke separuh akhir untuk berdepan Vietnam.

Kini, Cheng Hoe perlu mencari penyelesaian terbaik menggunakan pemain yang masih tersedia bagi memastikan bahagian tengah Harimau Malaya kekal kompetitif dalam perlawanan penting itu. Keupayaan pasukan menyesuaikan struktur permainan serta mengekalkan konsistensi bakal menjadi antara tuntutan utama ketika Malaysia cuba mengatasi kehilangan beberapa pemain di posisi penting.