SUKAN

Masalah disiplin pemain teruk — Chong Wei

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia mengambil pendekatan lebih tegas dalam menangani masalah disiplin pemain selepas isu berkenaan dikenal pasti memerlukan pembaikan secara menyeluruh dan bukan sekadar tindakan jangka pendek.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, pengurusan baharu badan induk itu memberikan sokongan terhadap usaha meningkatkan tahap disiplin pemain, termasuk kemungkinan tindakan dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan.

“Bukan lagi sekadar memberi amaran. Kita akan mengambil tindakan.

“Bagaimanapun, perkara ini akan dibawa semula dalam mesyuarat majlis untuk kita bincangkan tindakan selanjutnya yang boleh diambil,” katanya.

Menurut Chong Wei, masalah disiplin yang berlaku dalam kem BAM disifatkan agak serius kerana membabitkan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan secara berperingkat.

Beliau menjelaskan usaha pembaikan tidak boleh dilakukan dalam masa singkat kerana perubahan terhadap kebiasaan serta tahap pematuhan pemain memerlukan tempoh tertentu.

“Saya boleh katakan masalah disiplin kita agak teruk. Bukan kerana satu isu sahaja, tetapi banyak isu yang berlaku sebelum ini dan kita kena selesaikan satu demi satu.

“Perubahan bukan boleh berlaku dalam satu dua hari atau satu dua bulan. Kelmarin saya sudah bermesyuarat dengan semua jurulatih dan memberikan penerangan kepada mereka mengenai perkara ini. Bukan satu, dua atau tiga bulan kita boleh ubah semuanya. Berikan saya sedikit masa untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Dalam perkembangan semasa, Chong Wei berkata terdapat kemajuan positif terutama dalam aspek pematuhan arahan pemain untuk berada di asrama.

Bagaimanapun, beberapa perkara lain masih perlu diperhalusi dan diberi perhatian serius. Antaranya ialah isu pemain keluar pada waktu malam ketika menyertai kejohanan di luar negara.

Keadaan itu menjadikan peranan barisan kejurulatihan turut penting kerana proses membentuk disiplin tidak hanya bergantung kepada pemain atau pengurusan.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata disiplin perlu diberi keutamaan kerana faktor berkenaan mempunyai kaitan rapat dengan kemampuan pemain menghasilkan prestasi lebih baik di gelanggang.

Beliau percaya pemain yang membiasakan diri dengan disiplin tinggi berpotensi memperbaiki prestasi secara beransur-ansur apabila standard itu dapat diamalkan secara konsisten.

“Kalau kita berdisiplin, saya fikir kita sudah biasa dengan perkara itu dan kita boleh melihat keputusan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

“Ini bukan mudah untuk diselesaikan satu persatu dan ia juga menjadi tanggungjawab jurulatih,” katanya.

Justeru, proses yang sedang dilaksanakan BAM bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan peraturan, malah melibatkan usaha membentuk tahap pematuhan yang lebih kukuh dalam kalangan pemain.

Pada masa sama, sebarang tindakan selanjutnya terhadap kes pelanggaran disiplin masih perlu dibincangkan dalam mesyuarat majlis sebelum pendekatan yang sesuai diputuskan.