SUKAN

Rekod cemerlang Azri Ghani jadi sandaran

Azri Ghani tidak mahu sebarang kekangan yang dihadapi Harimau Malaya dijadikan alasan menjelang pertemuan dengan Vietnam pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.

Skuad negara memasuki perlawanan penting itu selepas berdepan beberapa cabaran termasuk masalah kecederaan, tempoh persiapan yang singkat, saingan yang berlangsung di luar jendela antarabangsa FIFA serta keadaan pemain yang berada dalam tempoh luar musim bersama kelab masing-masing.

Namun Azri menegaskan semua faktor tersebut tidak harus mengganggu fokus pasukan. Penjaga gol Negeri Sembilan FC itu percaya pemain yang berada dalam skuad mempunyai kualiti untuk memberikan tentangan kepada Vietnam.

Azri muncul sebagai penjaga gol utama Malaysia sepanjang kejohanan dengan empat penampilan, mencatat dua perlawanan tanpa bolos dan hanya dibolosi tiga kali. Menurutnya, rekod itu menunjukkan unit pertahanan negara mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik walaupun terpaksa menghadapi pelbagai gangguan sepanjang kempen.

“Pertama sekali, saya beri pujian kepada pasukan kerana memberikan persembahan terbaik dalam kesemua empat perlawanan. Bagi saya, tiada masalah dan tiada isu dengan pertahanan atau pemain kami,” katanya.

Malaysia kehilangan Endrick Dos Santos dan Jimmy Raymond akibat kecederaan, manakala beberapa pemain lain masih melalui proses pemulihan menjelang perlawanan menentang Vietnam.

Azri berharap pemain yang belum pulih sepenuhnya dapat kembali cergas secepat mungkin, termasuk bagi membantu pasukan dalam aksi seterusnya di Vietnam. Pada masa sama, beliau menegaskan barisan sedia ada perlu digunakan sebaik mungkin.

“Buat masa sekarang saya tengok pemain menjalani proses pemulihan dengan bagus.

“Jadi saya mengharapkan mereka kembali dengan cepat untuk perlawanan seterusnya, mungkin bermain di Vietnam nanti.

“Dekat sini kita terpaksa guna mana-mana yang ada. Semua yang datang pun berkualiti, jadi sebab itu kita tak risau.

“Saya harap pasukan boleh berikan aksi yang terbaik untuk lawan Vietnam nanti,” katanya.

Pertemuan Ahad ini turut membawa cabaran peribadi buat Azri kerana ia bakal menjadi kali pertama beliau diturunkan menentang skuad senior Vietnam. Beliau menjangkakan lawan akan memberikan tekanan kuat terhadap pertahanan Malaysia, namun bersedia menghadapi setiap percubaan yang datang.

“Setiap perlawanan saya akan sentiasa berikan tumpuan yang terbaik dari segi permainan. Tumpuan dan disiplin pertahanan, saya sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Saya pertama kali diturunkan menentang skuad senior mereka, jadi saya nak mencuba dan berikan permainan terbaik.

“Siapa pun yang datang, InsyaAllah saya akan berikan yang terbaik,” katanya.

Harimau Malaya hanya mempunyai kira-kira 10 hari untuk membuat persediaan sebelum kejohanan. Situasi itu menyebabkan jurulatih sementara Tan Cheng Hoe perlu membentuk pasukan yang turut dibarisi pemain muda dan muka baharu, selain mempunyai tempoh terhad untuk membina persefahaman antara pemain.

“Dengan tempoh persediaan yang begitu singkat, saya bangga dan teruja dengan para pemain, terutama kerana sekarang adalah tempoh luar musim kami. Saya lihat pemain datang dalam keadaan sangat baik dan benar-benar bersedia,” kata Azri.

“Sekarang menentang Vietnam, saya harap kami dapat memberikan persembahan terbaik dan berjuang dalam perlawanan seterusnya.”

Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara selepas mengumpul sembilan mata, manakala Vietnam mara sebagai juara Kumpulan A dengan rekod tanpa kekalahan.