Masa depan Lionel Messi dalam bola sepak kini menjadi persoalan selepas bintang Argentina itu mengakui pemergian bapanya, Jorge Messi, menyebabkan dia mempunyai banyak keraguan untuk meneruskan karier dalam tempoh yang panjang.
Jorge meninggal dunia minggu lalu pada usia 68 tahun selepas mengalami sakit yang berpanjangan. Beliau menghembuskan nafas terakhir di sebuah klinik perubatan di Rosario, Argentina.
Bagi Messi, kehilangan itu bukan sekadar pemergian seorang bapa, tetapi juga individu yang sentiasa berada bersama sepanjang perjalanan kariernya sejak peringkat awal. Jorge mengikuti perkembangan kerjaya Messi sejak zaman Barcelona, menjadi tonggak sokongan utama serta pernah bertindak sebagai wakil pemain itu selama beberapa tahun.
Dalam penghormatan menerusi Instagram, Messi menjelaskan betapa besar kesan kehilangan berkenaan terhadap dirinya.
“Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan tanpa kamu. Saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup.
“Saya hanya bermain bola sepak dan kini saya mempunyai banyak keraguan sama ada saya akan terus melakukannya untuk tempoh yang lama.
“Kamu berada di sisi saya sejak awal, hanya sedikit lagi yang diperlukan sebelum tamat. Mengapa kamu tidak bertahan sedikit lebih lama supaya kita dapat menamatkannya bersama?,” tulis Messi menerusi hantaran penghormatan di Instagram.
Messi, 39, turut mengaitkan bapanya dengan keputusan untuk terus beraksi pada Piala Dunia lalu. Menurutnya, penyertaan dalam kejohanan itu adalah antara perkara yang sangat diinginkan Jorge.
“Kamu sentiasa meminta saya bermain pada Piala Dunia terakhir dan beberapa hari sebelum kejohanan bermula, keadaan kamu semakin buruk.
“Itu adalah kali pertama kamu tidak akan berada bersama saya dalam satu kejohanan. Setiap kali perlawanan tamat, saya akan menunggu dan berharap menerima mesej daripada kamu. Ketika itu saya sedar betapa seriusnya keadaan sebenar,” katanya.
Sepanjang kejohanan itu, Messi berdepan cabaran bukan sahaja dari sudut fizikal dan persaingan di atas padang, tetapi juga keadaan emosi yang sukar. Dia mencipta hatrik ketika aksi pembukaan menentang Algeria, sebelum menitiskan air mata ketika meraikan jaringan pertamanya.
Messi kemudian menjelaskan tangisan berkenaan mempunyai kaitan dengan beberapa hari sukar dan rumit yang dilaluinya, bukannya disebabkan perkara berkaitan bola sepak.
Argentina akhirnya gagal meraih kejuaraan selepas tewas kepada Sepanyol selepas masa tambahan dalam perlawanan akhir. Messi mengakui dia mahu menghadiahkan trofi itu kepada bapanya, namun keadaan fizikalnya tidak lagi membolehkan dia memberikan lebih banyak tenaga kepada pasukan.
“Kaki saya tidak mampu meneruskan lagi. Kali ini saya cuba memaksa diri melepasi had fizikal, tetapi saya tidak mampu. Saya tidak pernah berasa baik.
“Kami bukan juara, tetapi kamu tidak tahu betapa kami menikmati setiap perlawanan. Sekali lagi kamu betul, saya perlu berada di sana dan bermain,” katanya.
Messi kini masih melalui tempoh kesedihan selepas kehilangan bapanya. Namun, dia berjanji akan terus menghargai kenangan Jorge dengan meneruskan didikan yang diterimanya dalam cara dia membesarkan anak-anaknya.