SUKAN

Ya, ya, akan terjadi – Bergson

Bergson Da Silva semakin memberi petunjuk jelas mengenai kemungkinan menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia selepas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sekali lagi menyatakan keterbukaannya untuk mewakili Harimau Malaya.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu turut menghargai sokongan peminat susulan video temu bualnya yang tular sebelum ini, apabila dia menyatakan kesediaan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan sekiranya diberi peluang.

Ketika ditemui pada majlis Anugerah Liga Malaysia atau Liga M Awards 2025-2026 (LMA25-26), malam tadi, pemain berusia 35 tahun itu sekali lagi menarik perhatian apabila menyelitkan jawapan dalam bahasa Melayu ketika menjawab soalan media.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala ucapan yang mereka (peminat) berikan kepada saya, sokongan dan juga harapan mereka mengenai perkara itu (kesediaannya untuk mewakili Malaysia).

“Ia kerana saya sentiasa memberikan segala-galanya untuk negara ini dan juga kelab ini. Saya juga teruja untuk mewakili mereka di atas padang kerana saya sudah berada di sini hampir enam tahun.

“Jadi saya fikir sudah tiba masanya untuk bersama dan sekali lagi, ia adalah satu penghormatan besar buat saya. Saya gembira dan bangga untuk bermain untuk JDT, saya hanya ingin katakan terima kasih kepada semua,” katanya.

Bayangan mengenai statusnya menjadi lebih kuat apabila Bergson ditanya sama ada rakyat Malaysia akan dapat melihat dia beraksi sebagai pemain tempatan pada musim akan datang. Sambil tersenyum, penyerang kelahiran Brazil itu menjawab: “Ya, ya, ya… akan terjadi.”

Semalam, BH Sukan melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang melengkapkan proses dokumentasi Bergson untuk mendapatkan status sebagai pemain naturalisasi skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan bahawa sekiranya proses dokumentasi itu dilengkapkan, Bergson boleh menyarung jersi Harimau Malaya. Beliau turut memberi bayangan bahawa tiada masalah untuk pemain berkenaan mendapatkan status naturalisasi kerana sudah melengkapkan syarat lima tahun beraksi di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Bergson terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain import paling menonjol di Liga Malaysia apabila mencipta satu lagi sejarah pada LMA25-26.

Dia mempertahankan anugerah Pemain Import Terbaik untuk musim keempat berturut-turut selain memenangi Kasut Emas buat kali ketiga.

“Anugerah ini sangat bermakna kerana seperti yang selalu saya katakan, apabila pertama kali tiba di sini, saya tidak pernah membayangkan akan mencapai banyak perkara sebegini,” kata Bergson.

“Ini salah satu sebab untuk saya lebih dahagakan kejayaan dan lebih bermotivasi. Jadi, saya sangat gembira dan saya tiada kata-kata untuk menggambarkan semua detik yang kami lalui di JDT.”

Perkembangan proses dokumentasi bersama FAM dan kenyataan terbuka Bergson kini menjadi tumpuan, terutama selepas dia sendiri memberi isyarat positif mengenai kemungkinan beraksi sebagai pemain tempatan serta mewakili Malaysia pada masa akan datang.