SUKAN

Rekod Dinh Bac cukup untuk gerunkan Harimau Malaya

Juara bertahan, Vietnam dijangka menjadi ujian paling getir buat Harimau Malaya pada separuh akhir Piala ASEAN 2026 selepas tampil sebagai pasukan paling produktif sepanjang saingan peringkat kumpulan.

Skuad Golden Star Warriors meledak 13 gol dalam empat perlawanan Kumpulan A, jumlah tertinggi dalam kalangan pasukan yang bersaing pada peringkat berkenaan. Ketajaman jentera serangan mereka terserlah menerusi kemenangan besar 7-0 ke atas Timor Leste selain menewaskan Indonesia 3-0 di gelanggang lawan.

Vietnam turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kemboja dengan hanya satu gol dibolosi sepanjang tiga kemenangan mereka. Satu-satunya perlawanan yang menyaksikan Vietnam gagal menemui sasaran ialah ketika seri tanpa jaringan menentang Singapura di tempat sendiri.

Rekod itu memberikan gambaran jelas mengenai cabaran yang menanti Harimau Malaya, terutama ketika skuad negara berdepan ketiadaan beberapa tonggak utama selain masalah kecederaan menjelang pertemuan separuh akhir.

Antara pemain Vietnam yang perlu diberikan perhatian ialah penyerang berusia 21 tahun, Nguyen Dinh Bac. Dia kini menjadi penjaring terbanyak pasukan dengan lima gol, termasuk hatrik ketika menentang Timor Leste dan dua jaringan dalam kemenangan ke atas Kemboja.

Selain Dinh Bac, penyerang naturalisasi Nguyen Xuan Son yang sudah menghasilkan dua gol juga berpotensi memberikan ancaman kepada benteng negara. Kapten Vietnam yang juga pemain tengah berpengalaman, Nguyen Quang Hai, turut menjadi antara pemain penting dalam pasukan berkenaan.

Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe pula mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B selepas merekodkan tujuh jaringan dan tiga kali bolos sepanjang peringkat kumpulan. Antara keputusan yang dicatatkan skuad negara termasuk kekalahan 0-2 kepada Thailand.

Walaupun Vietnam hadir dengan status pasukan pilihan, penjaga gol Harimau Malaya, Azri Ghani menegaskan dia dan rakan sepasukan bersedia memberikan persembahan terbaik pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

“Setiap perlawanan saya akan sentiasa berikan tumpuan yang terbaik dalam permainan, mengatur barisan pertahanan dan saya berada dalam keadaan bersedia (berdepan Vietnam).

“Ini pertama kali saya akan menentang skuad senior Vietnam. Jadi, saya nak mencuba dan memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Harimau Malaya perlu memanfaatkan aksi pertama di gelanggang sendiri dengan memburu kemenangan sebagai bekalan sebelum bertandang ke Stadium My Dinh bagi perlawanan timbal balik pada 19 Ogos ini.

Namun, Cheng Hoe turut berdepan cabaran untuk menguruskan keadaan skuad selepas kehilangan perancang tengah, Endrick Dos Santos dan tonggak pertahanan, Jimmy Raymond akibat kecederaan.

Azri bagaimanapun tidak melihat situasi berkenaan sebagai masalah besar dan percaya pemain yang tersedia mampu memikul tanggungjawab ketika menentang Vietnam.

“Kita tahu sekarang ramai pemain dalam keadaan yang kurang baik dari segi kecederaan dan bagi saya tiada masalah. Mana-mana pemain yang ada, saya harapkan mereka memberikan persembahan yang terbaik untuk perlawanan menentang Vietnam.

“Buat masa sekarang saya tengok dari segi pemain, mereka menjalani pemulihan dengan baik. Saya mengharapkan mereka kembali dengan cepat untuk perlawanan seterusnya, mungkin bermain dekat Vietnam nanti,” katanya.

Pertemuan pertama itu bakal menuntut disiplin tinggi daripada Harimau Malaya, khususnya dalam mengawal barisan serangan Vietnam yang sudah membuktikan ketajaman mereka sepanjang peringkat kumpulan.