SUKAN

Rexy sahkan tiada lagi ‘monyet’

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky memberi penilaian positif terhadap keadaan Stadium Tertutup Indira Gandhi menjelang Kejohanan Dunia selepas kemudahan di venue berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding ketika Terbuka India pada Januari lalu.

Skuad Malaysia sudah menjalani latihan di venue berkenaan sejak Sabtu dan setakat ini tidak berdepan sebarang gangguan membabitkan monyet atau burung merpati yang sebelum ini menjadi antara isu utama di lokasi pertandingan tersebut.

Kejohanan Dunia bermula Isnin dengan India menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas kali pertama menganjurkan kejohanan itu di Hyderabad pada edisi 2009.

“Kami tidak melihat sebarang monyet atau burung merpati, jadi tiada masalah berkaitan perkara itu. Tiada gangguan terhadap latihan kami,” kata Rexy.

“Semuanya baik setakat ini. Gelanggang latihan sudah dinaik taraf dan tandas juga baharu, manakala gelanggang utama berada dalam keadaan baik.”

Penilaian Rexy memberi gambaran positif kepada persiapan pemain Malaysia selepas keadaan venue itu menerima kritikan hebat ketika Terbuka India pada Januari. Ketika kejohanan berkenaan, isu kebersihan serta kelewatan perlawanan akibat kehadiran monyet dan najis burung mencetuskan perhatian terhadap tahap penyelenggaraan kemudahan pertandingan.

Masalah berkenaan turut menyebabkan pihak berkuasa sukan tempatan dan media menggesa supaya kejohanan dipindahkan ke lokasi lain atau hak penganjuran ditarik balik.

Bagaimanapun, penganjur iaitu Persatuan Badminton India (BAI) sejak itu sudah menangani kelemahan kemudahan berkenaan. Pemerhatian positif Rexy selepas beberapa sesi latihan memberi kelegaan kepada pemain yang bakal memulakan cabaran pada kejohanan utama itu.

Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh adalah antara pemain yang sebelum ini menyuarakan kekecewaan terhadap keadaan venue berkenaan ketika Terbuka India.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jack Koh pula optimis penganjur sudah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan isu di luar gelanggang yang pernah berlaku tidak berulang ketika Kejohanan Dunia.

“Saya percaya penganjur sudah melakukan bahagian mereka dan membuat persediaan untuk memastikan perkara ini tidak benar-benar berlaku di sana.

“Saya fikir mereka sudah mengambil langkah tertentu untuk mencegahnya dan memastikan venue diselenggara dengan baik,” kata Jack.

Keadaan venue yang lebih teratur membolehkan pemain memberi tumpuan kepada latihan, penyesuaian gelanggang dan persediaan pertandingan tanpa gangguan luar. Bagi kontinjen Malaysia, kelancaran sesi latihan sejak Sabtu menjadi perkembangan positif menjelang permulaan saingan pada Isnin.