Tangisan kegembiraan mengiringi luahan Datuk Azizulhasni Awang selepas pelumba berbasikal trek negara itu menerima pengesahan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) masih memerlukan khidmatnya, terutama dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Azizulhasni, 38, berkongsi perkembangan itu menerusi akaun Instagram miliknya hari ini selepas membuka e-mel daripada KBS dan MSN sebaik selesai menjalani sesi latihan di trek. Pengesahan berkenaan hadir selepas tempoh menunggu yang cukup mencabar buat pelumba berpengalaman negara itu.
Menurutnya, keadaan sepanjang seminggu lalu memberi kesan besar terhadap fokus dan persediaannya di trek sehingga menyukarkan dirinya menjalani latihan seperti biasa.
“Alhamdulillah, hari ini 31 Ogos, Hari Kebangsaan ke-69. Saya baru buka e-mel di trek selepas sesi latihan selepas seminggu. Memang sepanjang minggu ini saya tidak boleh berlatih. Bila pergi berlatih, fikiran saya kosong.
“(Hari ini) Saya buka e-mel dan terima e-mel daripada KBS dan MSN bahawa mereka masih memerlukan khidmat saya. Saya tunggu sebelum saya ke Sukan Komanwel (Glasgow 2026) lagi dan Alhamdulillah, hari ini saya mendapat jawapan itu,” katanya dalam keadaan sebak dan menitiskan air mata kegembiraan.
Bagi Azizulhasni, jawapan itu membawa makna besar selepas melalui tempoh ketidaktentuan yang mengganggu tumpuannya. Pengesahan berkenaan juga menjawab persoalan yang sudah ditunggunya sejak sebelum berangkat ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Juara dunia dalam acara keirin pada 2017 itu turut mengakui bahawa tekanan, pengorbanan dan emosi yang dilaluinya sukar difahami oleh mereka yang tidak pernah berada dalam situasi sama sebagai atlet negara.
“Tidak semua orang memahami perasaan ini. Sekiranya tidak melaluinya, kamu tidak akan memahaminya. Hanya atlet sebenar, hanya yang betul-betul berkorban untuk negara sahaja yang faham bagaimana perasaannya,” katanya.
Dalam masa sama, Azizulhasni menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan kepadanya, termasuk menerusi mesej dan komen di media sosial sepanjang tempoh berkenaan.
“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak pernah minta seorang pun untuk menyokong atau membantu saya, tetapi saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tampil menyokong saya.
“Walaupun melalui teks dan komen, ia membawa makna yang besar dan impak yang besar. Terima kasih kepada semua yang berada di belakang saya. Alhamdulillah, syukur Allah bantu saya dan bantu semua,” katanya.
Azizulhasni yang terkenal dengan semangat juang tinggi ketika menggalas cabaran negara kemudian menegaskan komitmennya untuk terus memberikan yang terbaik buat Malaysia selepas menerima jawapan daripada KBS dan MSN.
“Seperti biasa, saya akan buat yang terbaik untuk negara yang tercinta dan kepada anda semua,” katanya.