SUKAN

Danish Iftikhar tamatkan penantian 44 Tahun Malaysia di Sukan Asia

Nama Danish Iftikhar Muhammad Roslee kini terpahat dalam satu lagi pencapaian penting olahraga negara selepas pelari berusia 19 tahun itu membawa Malaysia kembali ke final 200 meter (m) lelaki Sukan Asia buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun.

Danish melayakkan diri ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mencatat 20.76 saat (s) pada separuh akhir saringan satu yang berlangsung di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic, hari ini.

Pelari muda negara menamatkan saingan di kedudukan keempat, tetapi masih memperoleh tiket ke final menerusi dua catatan terpantas berikutnya.

Keputusan itu memastikan Danish berada dalam kelompok lapan pelari terbaik Asia dan meneruskan kempen pada penampilan pertamanya di temasya berkenaan bersama skuad senior.

Pencapaian tersebut turut menghidupkan semula rekod Malaysia dalam acara 200m lelaki selepas kali terakhir mempunyai finalis pada Sukan Asia New Delhi 1982.

Ketika itu, Datuk Rabuan Pit menjadi wakil negara dan berjaya meraih pingat gangsa. Selepas 44 tahun, Danish kini menjadi pelari Malaysia seterusnya yang berjaya menembusi pentas final acara tersebut.

Dalam separuh akhir saringan satu, pelari tuan rumah, Soshi Mizukubo mencatat masa terpantas 20.37s untuk memenangi perlumbaan. Wu Yen Ming Ke dari Taiwan berada di tempat kedua dengan 20.71s, diikuti Yip King Wai dari Hong Kong dengan 20.74s.

Danish menamatkan perlumbaan selepas ketiga-tiga pelari berkenaan menerusi catatan 20.76s sebelum mengesahkan kemaraan berdasarkan catatan masa.

Bagi Danish, kejayaan itu merupakan satu lagi pengalaman penting pada peringkat awal kariernya bersama skuad senior negara.

“Alhamdulillah, ia satu perkara yang baik dan positif untuk saya. Ini adalah penampilan sulung saya di Sukan Asia bersama pasukan senior dan ia pengalaman baharu serta pencapaian besar untuk saya,” katanya.

Nasib berbeza dialami Muhammad Haziq Mohamad Akhir yang turut membawa cabaran Malaysia dalam acara 200m lelaki.

Haziq bersaing dalam separuh akhir saringan ketiga dan menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan catatan 21.50s, sekali gus gagal mengikut jejak Danish ke final.

Saringan tersebut menyaksikan Puripol Boonson dari Thailand mencipta rekod baharu Sukan Asia dengan catatan 20.10s. Pelari yang sebelum ini memenangi emas 100m lelaki itu memperbaharui rekod 20.14s milik Femi Ogunde dari Qatar yang bertahan sejak edisi Incheon 2014.

Animesh Kujur dari India mencatat 20.81s untuk tempat kedua, manakala Ali Haji dari Bahrain ketiga dengan 21.91s.

Dalam acara 110m lari berpagar, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif tidak berjaya melepasi pusingan pertama selepas menduduki tempat keempat saringan ketiga dengan masa 13.92s.

Sementara itu, Jonah Chang menamatkan final lontar peluru di tempat ketujuh keseluruhan menerusi catatan 18.89m.

Mohamad Reza Tayebi dari Iran meraih emas selepas mencatat 20.81m yang juga rekod baharu Asia. Tajinderpal Singh Toor dari India memperoleh perak dengan 20.64m, manakala Mohammed Tolu dari Arab Saudi meraih gangsa selepas mencatat 20.48m.

Di sebalik keputusan berbeza wakil negara dalam beberapa acara, kemaraan Danish menjadi tumpuan apabila Malaysia akhirnya kembali mempunyai wakil dalam final 200m lelaki Sukan Asia selepas kali terakhir mencapainya pada 1982.