Bayangan insiden tegang yang berlaku pada 2019 kembali menjadi perhatian pengamal media Malaysia menjelang pertembungan Harimau Malaya menentang Indonesia dalam aksi tumpuan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), esok.
Pertemuan dua seteru tradisi Asia Tenggara itu bukan sahaja dijangka menarik perhatian penyokong kedua-dua negara, malah soal keselamatan turut menjadi antara perkara utama yang diperkatakan wartawan Malaysia yang kini berada di Jakarta.
Rata-rata pengamal media Malaysia dinasihatkan supaya tidak memakai jersi atau pakaian yang jelas menunjukkan identiti negara ketika berada di sekitar GBK bagi mengelak menjadi tumpuan atau berdepan perkara tidak diingini.
Nasihat itu dibuat berdasarkan pengalaman ketika Malaysia berdepan Indonesia di venue sama pada 2019, apabila suasana selepas perlawanan berubah menjadi tegang.
Wartawan BERNAMA, Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif, yang membuat liputan perlawanan berkenaan menyifatkan pengalaman itu sebagai antara detik paling mendebarkan sepanjang 10 tahun bergelar wartawan.
Ketika itu, Malaysia mencatat kemenangan sensasi 3-2 ke atas Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, namun kegembiraan selepas perlawanan bertukar kepada situasi cemas di sekitar stadium.
Pemain dan pegawai Harimau Malaya terpaksa dibawa keluar dari GBK menggunakan kenderaan Barracuda dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.
“Saya tidak pernah mengalami situasi cukup genting dan penuh cemas seperti itu sepanjang bergelar wartawan, terutama apabila diserang dan dikepung ribuan penyokong Indonesia.
“Ketika itu semua media dan penyokong Malaysia terpaksa berlindung di bilik khas kira-kira dua jam sebelum dibenarkan pulang. Jeritan dan ugutan daripada penyokong tempatan kedengaran dengan jelas.
“Pada masa sama, kami dimaklumkan pasukan Malaysia terpaksa menaiki Barracuda dan diiringi ketat oleh pasukan keselamatan,” katanya.
Ahmad Nazrin berkata keadaan ketika itu cukup tegang apabila penyokong tempatan dilihat mencari individu yang dikaitkan dengan Malaysia.
“Pada ketika itu keadaan bertukar kecoh dan penyokong bertindak agresif hingga saya menyaksikan mereka mencari orang Malaysia.
“Jika mahu selamat, lebih baik tidak memakai baju Malaysia kerana ia boleh menjadi ancaman atau menyebabkan kita dikejar penyokong Indonesia,” katanya.
Beliau berharap pengalaman berkenaan tidak berulang, lebih-lebih lagi pertemuan kali ini berlangsung dalam kejohanan berstatus FIFA.
“Saya mengharapkan kejadian sama tidak berulang kerana situasi itu cukup menakutkan, namun mengharapkan kejohanan berstatus FIFA mempunyai kawalan keselamatan yang lebih terjamin,” katanya.
Koresponden TVS, David Andreas, yang turut berada di GBK pada 2019 mempunyai harapan sama.
“Kali ini saya mengharapkan kejadian sama tidak berulang kerana boleh memalukan tuan rumah sendiri dan segala keputusan diterima dengan terbuka kerana ia hanyalah perlawanan bola sepak saja,” katanya.
Indonesia turut meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengerahkan lebih 5,000 anggota di sekitar GBK. Sekurang-kurangnya dua kenderaan Barracuda disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk membawa keluar pasukan Malaysia sekiranya keadaan bertukar kecoh.
Pertembungan esok dijangka menjadi antara aksi paling mendapat perhatian selepas kedua-dua pasukan membuka kempen dengan kemenangan. Malaysia menewaskan Bangladesh 3-0, manakala Indonesia mengatasi Singapura 2-0.