Bergelar raja pecut Asia belum cukup untuk membuatkan jaguh Thailand, Puripol Boonson, berpuas hati apabila pelari berusia 20 tahun itu memasang tekad untuk terus memperbaharui rekod dengan catatan lebih pantas pada masa depan.
Puripol mencipta fenomena pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menguasai dua acara pecut utama, 100 meter dan 200m, selain menghasilkan rekod baharu dalam kedua-dua disiplin berkenaan.
Dalam acara 100m, Puripol terlebih dahulu memecahkan rekod temasya menerusi catatan 9.91 saat pada peringkat separuh akhir.
Dia kemudian memperbaiki rekod itu sekali lagi dalam final apabila mencatat 9.90s untuk memastikan pingat emas menjadi miliknya.
Prestasi cemerlang itu diteruskan dalam acara 200m apabila Puripol sekali lagi tampil dominan.
Pada separuh akhir, dia merekodkan 20.10s untuk memecahkan rekod temasya lama 20.14s milik pelari Qatar, Femi Ogunde, yang dicatat pada Sukan Asia Incheon 2014.
Puripol kemudian meningkatkan lagi tahap prestasinya dalam final dengan catatan 19.88s untuk meraih pingat emas.
Catatan itu turut menyaksikannya menyamai rekod Asia milik pelari China, Xie Zhenye, yang dilakukan ketika beraksi di Liga Berlian London pada 2019.
Walaupun sudah menguasai kedua-dua acara dan menghasilkan catatan yang meletakkannya dalam kelompok terbaik Asia, Puripol tidak mahu berhenti setakat itu.
“Saya mungkin tidak boleh memberikan angka tepat mengenai masa yang mampu dicapai selepas ini, tetapi saya berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi lebih pantas daripada sekarang dan memecahkan lebih banyak rekod,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan 200m.
Menurut Puripol, peningkatan prestasinya bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya didorong latihan berterusan dan keazaman tinggi.
“Latihan… dan mempunyai keazaman. Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh, bekerja keras dan memberikan segala-galanya,” katanya.
Puripol turut menekankan kepentingan kekuatan mental ketika turun di pentas besar seperti Sukan Asia.
“Saya rasa tidak banyak perbezaan sebelum datang dan ketika bertanding. Cuma mungkin lebih teruja kerana kami datang dengan keinginan untuk memenangi pingat,” katanya.
Perjalanan Puripol ke tahap tertinggi Asia bermula sejak usia muda apabila dia memenangi tiga emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m pada Sukan SEA Hanoi 2021 ketika berusia 16 tahun.
Dia kemudian meraih perak 100m pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di belakang Xie Zhenye sebelum menambah satu lagi perak pada Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun 2024 di Lima, Peru.
Tahun lalu, Puripol mencipta sejarah sebagai pelari pecut Asia Tenggara pertama memecahkan tembok 10 saat selepas mencatat 9.94s pada Sukan SEA Bangkok 2025.
Dalam usaha memburu pencapaian lebih besar, Puripol menjadikan legenda Jamaica, Usain Bolt, sebagai sumber inspirasi.
Bolt masih memegang rekod dunia 100m dengan catatan 9.58s dan 200m dengan 19.19s, kedua-duanya dilakukan pada Kejohanan Dunia 2009 di Berlin.
Selepas dua emas dan rekod baharu di Aichi-Nagoya, Puripol kini mahu memastikan pencapaian itu menjadi permulaan kepada usaha seterusnya untuk bergerak lebih pantas dan memecahkan lebih banyak rekod.