SUKAN

Arif Aiman ‘perbudakkan’ pertahanan mahal Indonesia

Kelincahan Arif Aiman Hanapi sekali lagi menjadi mimpi ngeri buat benteng Indonesia apabila pemain sayap Harimau Malaya itu beberapa kali mengucar-ngacirkan pertahanan mahal Sang Garuda dalam aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Lebih menarik, Indonesia menurunkan lima pemain pertahanan yang mempunyai nilai pasaran keseluruhan sekitar €10.4 juta atau kira-kira RM48.1 juta, membabitkan Kevin Diks, Calvin Verdonk, Elkan Baggott, Justin Hubner dan Dean James.

Daripada kelompok itu, Diks menjadi pertahanan paling bernilai dengan harga pasaran €5 juta, diikuti Verdonk €2.5 juta, James €1.7 juta, Hubner €1 juta dan Baggott €200,000 berdasarkan nilai pasaran Transfermarkt terkini.

Namun, nilai tinggi benteng tuan rumah itu tidak menghalang Arif Aiman daripada berani mencabar mereka secara satu lawan satu, melakukan larian pantas dan mencari ruang dari sebelah kanan serangan Malaysia.

Pemain Johor Darul Ta’zim itu sudah memberikan amaran seawal minit ke-12 apabila melakukan larian solo dari bahagian tengah sebelum melepaskan sepakan yang berjaya diselamatkan Maarten Paes.

Arif Aiman sekali lagi menguji penjaga gol Indonesia itu pada minit ke-29 menerusi percubaan jarak jauh yang berjaya dikawal.

Gerakan pemain berusia 24 tahun itu kemudian mencetuskan antara detik paling penting dalam perlawanan apabila Thom Haye terpaksa melakukan kekasaran ketika cuba menyekat kemaraannya.

Haye pada awalnya dilayangkan kad kuning, tetapi selepas semakan VAR, pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin menaik taraf hukuman berkenaan kepada kad merah pada minit ke-37.

Keputusan itu memaksa Indonesia meneruskan permainan dengan 10 pemain untuk tempoh kira-kira 70 minit.

Aksi Arif Aiman turut mendapat perhatian media Indonesia apabila ANTARA menyifatkannya sebagai antara ancaman yang cukup memenatkan sektor kiri pertahanan Garuda menerusi beberapa gerakan dari sebelah kanan Malaysia.

FIFA juga menyorot kelincahan Arif Aiman dalam laporan rasmi perlawanan, sekali gus menunjukkan persembahannya turut mendapat perhatian di pentas kejohanan.

Walaupun benteng Indonesia dibarisi pemain bernilai jutaan ringgit, Arif Aiman tetap berani membawa bola, mencabar ruang dan memaksa pertahanan tuan rumah bekerja keras untuk mengekangnya.

Aksinya turut mencetuskan reaksi penyokong Indonesia di media sosial selepas Garuda gagal menewaskan Malaysia di laman sendiri.

Walaupun pertemuan di GBK berakhir tanpa jaringan, pengaruh Arif Aiman tetap ketara apabila pergerakannya menjadi antara ancaman utama Harimau Malaya serta membawa kepada insiden kad merah yang mengubah struktur permainan Indonesia.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, turut mengakui kemampuan pemain itu membantu Malaysia mencorakkan serangan.

“Seperti sedia maklum, kita mengetahui kemampuan Arif Aiman dan lariannya cukup pantas serta mampu menjaringkan gol dalam sudut sukar,” katanya.

Selepas berjaya memberi masalah kepada benteng Indonesia bernilai sekitar RM48 juta, Arif Aiman kini dijangka terus menjadi antara sandaran utama apabila Harimau Malaya menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini.