SUKAN

Ronaldo akhirnya buka mulut sebab tinggalkan kem latihan Portugal

Krisis awal mula membayangi pengendali Portugal, Jorge Jesus apabila Cristiano Ronaldo meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan di Copenhagen secara mengejut, semalam, menjelang aksi Liga Negara-Negara menentang Denmark.

Keputusan Ronaldo hadir ketika hubungan antara penyerang berusia 41 tahun itu dan Jesus menjadi perhatian selepas pengendali berkenaan mengakui wujud ketegangan antara mereka.

Ronaldo kemudian menjelaskan melalui Instagram bahawa langkah meninggalkan kem dibuat selepas mendengar sidang media Jesus dan selepas berbincang dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF), Pedro Proenca.

“Saya memutuskan untuk meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan selepas sidang media pengendali pasukan dan selepas berbincang dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Portugal.

“Pada masa yang sesuai, saya akan memberitahu semua rakyat Portugal perkara sebenar mengenai sebab saya meninggalkan pasukan kebangsaan yang sentiasa saya berikan komitmen sepenuhnya.

“Sekarang masanya untuk mendoakan yang terbaik buat Portugal dan semua rakan sepasukan saya, tanpa pengecualian,” tulis Ronaldo.

FPF mengesahkan pemain berkenaan sudah meninggalkan kem tetapi menegaskan persiapan pasukan akan diteruskan seperti biasa bersama baki 24 pemain.

Portugal dijadual menentang Denmark sebelum berdepan Norway di laman sendiri pada Ahad.

“Keseluruhan skuad kekal fokus sepenuhnya terhadap perlawanan pasukan kebangsaan yang akan datang dan mencapai objektif ditetapkan,” menurut kenyataan FPF.

Perkembangan itu berlaku tidak lama selepas Jesus cuba meredakan spekulasi mengenai Ronaldo.

Sebelum sesi latihan, Jesus menafikan bahawa Ronaldo enggan berlatih dan meminta pemberita tidak mencetuskan kontroversi.

“Dia tidak menolak. Dia akan berlatih hari ini.

“Ini hari keempat, jadi dia akan berlatih. Dan dia tidak menolak untuk berlatih. Mustahil. Kamu percaya? Bukan Cris,” katanya.

Namun, Ronaldo tidak kelihatan apabila sesi latihan bermula selepas ditangguhkan seketika.

Beberapa media Portugal melaporkan penyerang itu meninggalkan Stadium Parken hanya beberapa minit selepas Jesus selesai bercakap kepada pemberita.

A Bola turut menyiarkan video yang dipercayai menunjukkan Ronaldo meninggalkan stadium menggunakan kenderaan FPF.

Jesus sebelum itu turut mengesahkan beliau sudah bercakap dengan Ronaldo, tetapi menegaskan tiada insiden besar berlaku.

“Mereka memaksa saya bercakap dengan Cris mengenai isu yang sebenarnya tidak wujud. Tiada apa yang perlu dibincangkan.

“Dia berkata, ‘Saya di sini untuk anda membuat keputusan. Jika anda mahu saya bermain, saya akan bermain. Jika anda mahu saya ke tempat duduk penonton, saya akan pergi’,” katanya.

Ronaldo sebelum ini tidak beraksi ketika Portugal menewaskan Norway 2-1 di tempat lawan pada Ahad lalu.

Jesus dilaporkan memberitahu Ronaldo bahawa dia akan dimasukkan sebagai pemain gantian, namun keputusan itu akhirnya tidak dilaksanakan.

Pada Isnin dan Selasa, Ronaldo hanya menjalani latihan di gimnasium dan tidak menyertai sesi bersama skuad walaupun tidak mengalami kecederaan.

“Ronaldo marah kepada saya, tetapi bagi saya, perkara itu sudah berlalu,” kata Jesus.

Reuters turut mengesahkan jet peribadi Ronaldo berlepas dari Madrid menuju Copenhagen pada jam 7.49 malam waktu tempatan dan dijadualkan kembali ke Madrid pada jam 11.30 malam.

Perkembangan terbaru itu mencetuskan persoalan mengenai masa depan Ronaldo bersama Portugal serta kedudukan Jesus yang baru dua perlawanan mengendalikan pasukan selepas menggantikan Roberto Martinez.

Ronaldo kini memiliki 146 gol bersama Portugal selain memegang rekod 234 penampilan antarabangsa.

Minggu lalu, beliau mendakwa media cuba “membunuh” reputasinya selama bertahun-tahun dan berkata beliau boleh meninggalkan pasukan “hari ini” jika pengendali tidak mahu dirinya bersama skuad.