SUKAN

TERKINI : Zii Jia berjaya Lunas Dendam

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memulakan kempen Terbuka Hylo 2026 dengan kemenangan selepas menewaskan wakil Singapura, Jason Teh Jia Heng dalam pertarungan tiga set di Saarbrücken, Jerman, hari ini.

Bekas juara Seluruh England itu memerlukan 59 minit untuk mengatasi pemain ranking ke-33 dunia berkenaan dengan keputusan 21-16, 19-21, 21-17 pada aksi pusingan pertama kejohanan berstatus Super 500 tersebut.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-42 dunia kerana berjaya membalas kekalahan kepada lawan sama pada Terbuka Switzerland, Mac lalu.

Ketika pertemuan di Basel itu, Zii Jia gagal memberikan tentangan berkesan sebelum tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas 12-21, 14-21 dalam tempoh 28 minit.

Bagaimanapun, situasi berbeza berlaku di Terbuka Hylo apabila pemain berusia 28 tahun itu berjaya mengekang cabaran Jason untuk memastikan kemaraannya ke pusingan kedua.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Saarlandhalle, Zii Jia terlebih dahulu memperoleh kelebihan apabila memenangi set pembukaan 21-16.

Namun, pemain Singapura itu enggan memberikan laluan mudah apabila bangkit untuk mencatat kemenangan tipis 21-19 pada set kedua, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi set ketiga.

Memasuki set penentuan, Zii Jia kembali memperoleh kelebihan sebelum memastikan kemenangan 21-17 untuk menamatkan perjuangan Jason dalam kejohanan berkenaan.

Keputusan itu membolehkan pemain negara menyamakan rekod pertemuan dengan Jason kepada satu kemenangan masing-masing selepas dua perlawanan.

Lebih penting, kejayaan tersebut memberikan permulaan positif kepada Zii Jia yang sedang berusaha meneruskan peningkatan prestasi selepas melalui tempoh mencabar sepanjang musim ini.

Sebelum tiba di Jerman, Zii Jia memperlihatkan perkembangan memberangsangkan apabila berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Artik di Vantaa, Finland pada awal Oktober.

Dalam kejohanan itu, beliau mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan kedua dari Perancis, Christo Popov dengan keputusan 21-11, 21-16 pada peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, kemaraannya terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada jaguh Denmark, Anders Antonsen dalam pertarungan tiga set dengan keputusan 11-21, 21-15, 16-21.

Pencapaian di Finland memberikan petanda positif bahawa Zii Jia semakin menemui rentak permainan selepas bergelut mendapatkan semula konsistensi terbaik.

Kejayaan mengatasi Jason dalam aksi pembukaan Terbuka Hylo kini membolehkan beliau meneruskan momentum tersebut dengan satu lagi kemenangan penting.

Pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung Khamis, Zii Jia akan berdepan pemenang pertemuan antara pilihan kelima dari Jepun, Kodai Naraoka dengan pemain Poland, Dominik Kwinta.