SUKAN

TERKINI : Satu lagi gandingan pilhan jadi mangsa Pang Ron-Pei Jing

Dua beregu pilihan kejohanan menjadi mangsa ketangkasan Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing apabila gandingan profesional Malaysia itu meneruskan kemaraan ke separuh akhir Terbuka HYLO 2026 selepas menewaskan wakil Hong Kong, Chan Yin Chak-Ng Tsz Yau, malam ini.

Selepas mengejutkan pilihan keempat dari Taiwan pada pusingan kedua, Pang Ron-Pei Jing sekali lagi menghasilkan persembahan berkualiti untuk menyingkirkan pilihan ketujuh kejohanan menerusi kemenangan 21-17, 21-17.

Perlawanan suku akhir yang berlangsung di Gelanggang 3, Saarlandhalle, Saarbrücken itu menyaksikan pasangan negara hanya memerlukan 31 minit untuk memastikan kemenangan dua set berturut-turut.

Kejayaan berkenaan turut mengesahkan penampilan separuh akhir kedua berturut-turut buat Pang Ron-Pei Jing selepas berjaya melangkah sehingga ke pentas final Terbuka Perancis minggu lalu.

Apa yang menarik, pasangan negara itu hadir ke Jerman tanpa status pilihan walaupun berjaya mencatat beberapa keputusan cemerlang dalam kejohanan utama sebelum ini.

Pada pusingan kedua semalam, Pang Ron-Pei Jing terlebih dahulu menyingkirkan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan dengan keputusan 21-9, 21-16 dalam pertarungan singkat selama 25 minit.

Kemenangan ke atas pilihan keempat itu membuka peluang buat mereka mencabar satu lagi gandingan pilihan pada peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, Chan Yin Chak-Ng Tsz Yau bukan lawan yang boleh dipandang ringan memandangkan pasangan Hong Kong tersebut turut mempunyai pengalaman menewaskan gandingan negara sebelum ini.

Pada Terbuka Australia 2026, pasangan berkenaan berjaya mencatat kemenangan meyakinkan 21-12, 21-8 ke atas Pang Ron-Pei Jing dalam pertemuan pusingan kedua.

Namun, pasangan Malaysia membalas kekalahan tersebut apabila kedua-duanya bertemu semula pada Masters China, September lalu.

Ketika itu, Pang Ron-Pei Jing terpaksa beraksi selama tiga set sebelum mengesahkan kemenangan 21-12, 16-21, 21-11 dalam tempoh 51 minit.

Berdasarkan dua pertemuan terdahulu yang berakhir dengan satu kemenangan buat setiap pasangan, perlawanan suku akhir HYLO kali ini menjadi satu lagi peluang untuk menentukan kelebihan antara kedua-dua gandingan.

Pang Ron-Pei Jing memulakan pertemuan dengan memberikan tentangan berkesan sebelum berjaya menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17.

Pada set kedua, pasangan Hong Kong cuba meneruskan cabaran untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun Pang Ron-Pei Jing berjaya memastikan kemenangan dengan keputusan sama, 21-17.

Keputusan itu membolehkan Malaysia mendahului rekod pertemuan 2-1, sekali gus meneruskan kemaraan ke kelompok empat terbaik kejohanan Super 500 tersebut.

Pencapaian Pang Ron-Pei Jing dalam beberapa bulan terakhir sememangnya menunjukkan peningkatan ketara sejak mereka membentuk gandingan baharu pada musim ini.

Pada September lalu, mereka mencuri perhatian apabila berjaya mara ke final Masters China sebelum tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Kejayaan itu kemudian disusuli satu lagi penampilan final di Terbuka Perancis minggu lalu, namun gandingan China yang sama sekali lagi menjadi penghalang kepada mereka untuk meraih kejuaraan.

Walaupun masih belum berjaya menjulang gelaran Jelajah Dunia BWF bersama, prestasi konsisten tersebut membantu Pang Ron-Pei Jing memperbaiki ranking sehingga berada di kedudukan ke-24 dunia.

Pasangan profesional negara itu kini berpeluang mencatat satu lagi pencapaian penting apabila bakal meneruskan saingan pada separuh akhir Terbuka HYLO.

Pang Ron-Pei Jing menanti pemenang pertemuan antara Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen dari Jerman dengan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis bagi menentukan lawan mereka dalam perebutan tempat ke final.

Dengan dua pasangan pilihan sudah berjaya disingkirkan, pasangan Malaysia itu kini semakin hampir untuk menambah satu lagi penampilan final dalam kempen Jelajah Dunia BWF musim ini.