Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King terus memberikan alasan kukuh kepada barisan kejurulatihan untuk mempertimbangkan masa depan mereka sebagai pasangan tetap selepas mencatat satu lagi kemenangan berprestij dalam Terbuka Hylo 2026 di Saarbrücken, Jerman.
Pasangan yang baru digabungkan semula menerusi rombakan skuad beregu lelaki kebangsaan itu berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Dalam aksi pusingan kedua di Saarlandhalle, Khamis lalu, Aaron-Roy King mencatat kemenangan straight set 22-20, 21-19 dalam tempoh 39 minit untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir kejohanan berstatus Super 500.
Kejayaan tersebut sekali lagi membuktikan kemampuan gandingan ranking ke-74 dunia itu memberikan tentangan kepada pasangan terbaik antarabangsa walaupun baru beraksi dalam empat kejohanan berturut-turut sepanjang siri Eropah.
Lebih menarik, Aaron-Roy King sudah mengumpul sembilan kemenangan dan hanya mengalami dua kekalahan sepanjang tempoh tersebut.
Kedua-dua kekalahan berkenaan juga hadir ketika menentang pasangan yang mempunyai reputasi tinggi di pentas dunia.
Pada Terbuka Denmark, mereka tewas kepada rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala di Terbuka Perancis, perjuangan mereka disekat gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Selain dua keputusan tersebut, Aaron-Roy King berjaya memenangi semua perlawanan lain yang diharungi sepanjang empat kejohanan berkenaan setakat aksi pusingan kedua Terbuka Hylo.
Pencapaian itu menjadi perkembangan positif selepas kedua-duanya memulakan kerjasama baharu dengan kejayaan menjuarai Terbuka Artik di Finland pada 11 Oktober lalu.
Dalam kejohanan tersebut, mereka memenangi setiap perlawanan tanpa kehilangan sebarang set sebelum menewaskan pasangan Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng 21-19, 21-19 pada perlawanan akhir.
Kejayaan muncul juara dalam kejohanan pertama selepas digandingkan semula turut meningkatkan keyakinan Roy King terhadap potensi kerjasama tersebut.
Beliau sebelum ini menyuarakan harapan supaya pihak kejurulatihan mempertimbangkan untuk mengekalkan gandingannya dengan Aaron, namun menegaskan bahawa mereka tetap akan mengikut keputusan jurulatih.
Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk terus menguji pasangan berkenaan sepanjang kempen Eropah.
“Tapi saya nak kekalkan lagi gandingan Tai-King.
“Kami mahu terus mencuba gandingan ini dalam jelajah di Eropah iaitu Finland, Denmark, Perancis dan Jerman sebelum (melanjutkan kempen) dalam Masters Jepun,” katanya dalam kenyataan terdahulu.
Perkembangan terbaru di Terbuka Hylo kini memberikan lebih banyak bahan penilaian kepada Herry sebelum membuat keputusan mengenai masa depan pasangan tersebut.
Dalam pertemuan menentang Sabar-Reza, Aaron-Roy King memperlihatkan ketenangan apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan 18-20 untuk memenangi set pertama 22-20.
Mereka kemudian mengekalkan momentum pada set kedua sebelum menamatkan permainan dengan kemenangan 21-19.
Kejayaan menyingkirkan pasangan ranking ketujuh dunia itu turut membolehkan Aaron-Roy King meneruskan cabaran menentang pilihan kelima dari Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin pada suku akhir.
Walaupun belum ada pengesahan bahawa mereka akan dikekalkan sebagai pasangan tetap, rekod sembilan kemenangan daripada 11 perlawanan memberikan petunjuk positif terhadap perkembangan kerjasama tersebut.
Bagi Aaron-Roy King, peluang untuk meneruskan kemaraan di Jerman menjadi medan penting untuk membuktikan bahawa kejayaan menjuarai Terbuka Artik bukan sekadar pencapaian sementara.