SUKAN

Joao Figueiredo, Irazabal dan Hevel sah kembali

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menekankan kepentingan pengurusan kecergasan terhadap João Figueiredo, Jon Irazabal dan Héctor Hevel yang sedang menghampiri fasa akhir penggantungan daripada perlawanan rasmi.

Pengendali dari Sepanyol itu melihat kehadiran tiga pemain berkenaan sebagai perkembangan positif buat Harimau Selatan, namun tempoh panjang tanpa aksi kompetitif secara konsisten menjadi faktor yang perlu diberikan perhatian.

Menurut Xisco, pasukan kejurulatihan perlu memastikan ketiga-tiga pemain dapat menyesuaikan diri semula dengan tuntutan pertandingan tanpa mengambil risiko yang boleh menjejaskan kecergasan mereka.

“Sangat penting cara kami menguruskan mereka setelah lama tidak beraksi, cuba elak kecederaan,” katanya dalam kenyataan mengenai pengurusan kepulangan ketiga-tiga pemain tersebut.

Figueiredo, Irazabal dan Hevel sebelum ini dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati terlibat dalam pelanggaran peraturan berkaitan dokumen kelayakan pemain warisan Malaysia.

Kes berkenaan menjadi perhatian sejak September 2025 apabila FIFA mengenakan tindakan terhadap tujuh pemain yang pernah mewakili Harimau Malaya.

Bagaimanapun, situasi mereka mengalami perubahan apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan penangguhan sementara hukuman pada Januari lalu.

Keputusan tersebut menyaksikan pemain terbabit sempat kembali menyertai pertandingan rasmi bersama kelab masing-masing sebelum keputusan muktamad rayuan diumumkan.

Pada 5 Mac, CAS mengekalkan tempoh penggantungan selama 12 bulan, tetapi memutuskan bahawa larangan itu hanya membabitkan perlawanan rasmi dan bukannya semua aktiviti bola sepak.

Ketetapan berkenaan membolehkan ketiga-tiga pemain JDT terus menjalani latihan bersama pasukan sepanjang baki tempoh hukuman.

Walaupun masih dapat mengikuti latihan, perbezaan antara sesi latihan dan perlawanan sebenar merupakan perkara yang perlu diambil kira sebelum pemain kembali diberikan tanggungjawab besar dalam kesebelasan utama.

Xisco turut menyifatkan kehadiran mereka sebagai satu kelebihan kerana setiap pemain mempunyai kemampuan untuk menawarkan pilihan berbeza mengikut keperluan taktikal pasukan.

“Kepulangan mereka sesuatu yang positif, mereka kembali dan sekarang kami perlu menguruskan mereka setelah sudah lama mereka tidak beraksi, kami perlu libatkan mereka dalam perlawanan.

“Sekarang mereka merupakan perkara yang terbaik yang berlaku ketika ini, memberikan banyak solusi dalam aksi akan datang,” katanya.

Figueiredo sebelum ini menjadi antara pilihan di bahagian serangan, manakala Irazabal dan Hevel mempunyai peranan penting dalam memperkukuh keseimbangan skuad.

Namun, JDT masih memerlukan pengesahan kelayakan rasmi sebelum dapat menyenaraikan mereka semula dalam perlawanan kompetitif.

Berdasarkan perkembangan kes yang diumumkan sebelum ini, penggantungan pemain warisan dijangka menghampiri penghujungnya pada akhir Oktober.

Bagaimanapun, status mewakili kelab perlu dibezakan daripada kelayakan beraksi untuk pasukan kebangsaan yang masih tertakluk kepada keputusan FIFA.

Bagi Xisco, keutamaan selepas mereka memperoleh kebenaran beraksi kelak bukan sekadar menambah bilangan pemain yang tersedia, tetapi memastikan ketiga-tiga tonggak tersebut kembali mencapai tahap kecergasan yang diperlukan untuk menghadapi jadual pertandingan JDT.