SUKAN

Apa Sudah jadi dengan Sze Fei-Izzuddin

Datuk Cheah Soon Kit, legenda beregu lelaki negara, menyuarakan keyakinan terhadap Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kini menggalas status beregu nombor satu dunia. Menurut Soon Kit, pasangan ini memiliki mentaliti dan semangat juang luar biasa untuk terus berdepan tekanan di tahap tertinggi.

Walaupun prestasi Sze Fei-Nur Izzuddin dilihat merosot selepas berjaya menduduki ranking teratas dunia pada hujung Mei lalu, Soon Kit berpandangan situasi ini adalah asam garam seorang pemain elit.

Beliau berkata: “Mungkin kerana mereka tiba-tiba jadi nombor satu dunia, jadi tekanan dan harapan orang ramai pun meningkat,” katanya.

Sejak muncul beregu nombor satu dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin belum menemui sentuhan terbaik apabila tersingkir di peringkat suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut — Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Selepas ini, pasangan tersebut akan terus diuji dalam dua kejohanan penting iaitu Terbuka Jepun (15 hingga 20 Julai) dan Terbuka China (22 hingga 27 Julai) yang bakal menjadi penentu persiapan mereka sebelum ke Kejohanan Dunia di Paris pada 25 hingga 31 Ogos.

Soon Kit yang pernah membimbing mereka ketika awal pembabitan dalam skuad kebangsaan kira-kira sembilan tahun lalu mengakui bahawa orang ramai mengharapkan pasangan ini sentiasa mara ke final atau memenangi gelaran setiap kejohanan.

“Orang ramai harapkan mereka masuk final atau menang setiap kejohanan. Tapi diharap rehat seketika ini dapat bantu mereka reset dari segi emosi dan mental, kemudian bangkit semula,” katanya.

Beliau turut mengimbau detik awal ketika menyatukan pasangan ini secara rasmi pada 2016 kerana melihat keserasian mereka di gelanggang.

Soon Kit turut memuji Izzuddin yang dilihat mempunyai komitmen tinggi dan menjadi tunjang kekuatan kepada Fei-Din.

“Izzuddin memang komited dan rajin. Dia ada kekuatan serangan yang bagus — itu antara sebab saya nampak potensi besar padanya,” jelasnya.

Pasangan yang mesra dikenali sebagai Fei-Din pernah berpisah pada tahun 2023 namun kembali bergabung demi misi besar mengharumkan nama negara.

“Mereka kini lebih matang dan stabil. Apa yang penting, mereka perlu terus menyokong antara satu sama lain.

“Jangan banyak fikir. mereka sudah berada di puncak, jadi fokus untuk kekal kuat daripada segi mental,” katanya.

Tambah Soon Kit, tekanan adalah cabaran terbesar buat mana-mana pasangan nombor satu dunia kerana setiap pihak pasti meneliti kelemahan untuk dijadikan peluang.

“Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kalah. Itu lumrah sukan. Tapi kita mesti tahu hadapi tekanan, sama ada dari orang luar atau diri sendiri. Yang penting cita-cita dalam diri mesti kekal menyala,” katanya lagi.

Beliau turut berpesan agar pasangan beregu nombor satu dunia itu terus memelihara semangat juang agar tidak mudah goyah dengan persaingan sengit di peringkat antarabangsa.

“Semangat itu paling utama. Mereka mesti kekalkan semangat juang. Bila dah jadi nombor satu dunia, semua orang akan kaji dan buru anda. Jadi komitmen mereka perlu kekal tinggi,” ujarnya.