SUKAN

TERKINI : Sahih , Tujuh pemain warisan layak beraksi Serta Merta

Selepas lebih setahun isu pemalsuan dokumen kelayakan pemain mencetuskan perhatian dalam arena bola sepak negara, tujuh pemain warisan yang dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini dibenarkan kembali beraksi dalam pertandingan rasmi bermula hari ini, 1 November 2026.

Perkembangan tersebut disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi pekeliling bertarikh 30 Oktober yang memaklumkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap ketujuh-tujuh pemain berkenaan telah berakhir pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, turut mengesahkan kesahihan pekeliling yang ditandatanganinya selepas dokumen tersebut tersebar di media sosial.

“Betul, sahih,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Pengesahan berkenaan sekali gus memberikan kepastian mengenai status pemain yang sebelum ini tidak dibenarkan menyertai perlawanan rasmi susulan keputusan FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Daripada jumlah tersebut, empat pemain kini bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu Figueiredo, Palmero, Irazabal dan Hevel.

Kepulangan mereka membuka peluang kepada skuad Harimau Selatan mendapatkan semula khidmat pemain yang sebelum ini tidak boleh diturunkan sepanjang tempoh penggantungan.

Sementara itu, penyerang Rodrigo Holgado turut dikaitkan dengan perpindahan ke DPMM FC selepas kelab dari Brunei berkenaan sebelum ini mengesahkan perkembangan berkaitan usaha mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, penyertaan pemain bersama mana-mana kelab masih tertakluk kepada proses pendaftaran serta peraturan pertandingan yang berkaitan.

Isu melibatkan tujuh pemain tersebut mula mendapat perhatian pada September 2025 selepas FIFA mendapati dokumen yang diubah suai digunakan bagi menyokong kelayakan mereka mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa.

Kes berkenaan berkait dengan penyertaan pemain terbabit ketika skuad Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun tahun lalu.

Susulan siasatan yang dijalankan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati berlakunya pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen.

FIFA kemudian mengenakan penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain terbabit, selain mengarahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayar denda sebanyak CHF350,000.

Setiap pemain turut dikenakan denda CHF2,000 susulan kesalahan berkenaan.

FAM dan pemain kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut, namun Jawatankuasa Rayuan FIFA pada November 2025 mengekalkan keputusan asal.

Kes itu seterusnya dibawa ke CAS, yang pada Januari lalu membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan penggantungan sementara proses rayuan berlangsung.

Bagaimanapun, pada 5 Mac 2026, CAS memutuskan bahawa tempoh penggantungan 12 bulan masih dikekalkan.

Perubahan utama yang dibuat mahkamah tersebut ialah mengehadkan hukuman kepada perlawanan rasmi sahaja dan bukannya semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Keputusan itu membolehkan ketujuh-tujuh pemain terus menjalani latihan serta menyertai aktiviti pasukan yang dibenarkan walaupun masih tidak boleh diturunkan dalam pertandingan kompetitif.

Kini, selepas tempoh penggantungan disahkan berakhir, pemain berkenaan mempunyai laluan untuk kembali menyertai perlawanan bersama kelab masing-masing.

Bagaimanapun, tamatnya hukuman tatatertib itu tidak secara automatik menyelesaikan persoalan berasingan mengenai kelayakan mereka mewakili skuad kebangsaan Malaysia.

Isu kelayakan antarabangsa masih perlu merujuk kepada peraturan serta keputusan FIFA yang berkaitan.

Bagi saingan domestik, pengesahan terbaru MFL memberikan kepastian kepada kelab yang mempunyai pemain terlibat untuk membuat perancangan menjelang perlawanan seterusnya.

Perkembangan pada 1 November itu sekali gus menandakan berakhirnya tempoh larangan menyertai perlawanan rasmi yang dikenakan terhadap tujuh pemain berkenaan susulan kes pemalsuan dokumen tahun lalu.