SUKAN

Chong Wei Dedah Kisah Sebenar Sebelum Final Menentang Lin Dan!

Di sebalik kejayaan Datuk Seri Lee Chong Wei meraih pingat perak Sukan Olimpik London 2012, legenda badminton negara itu sebenarnya berdepan cabaran besar apabila masih mengalami kesakitan pada buku lali kanan ketika menjalani persiapan terakhir di England.

Bekas pemain nombor satu dunia berkenaan mendedahkan bahawa tahap kecergasannya belum berada pada kedudukan terbaik sehingga beliau hanya mampu berlatih menggunakan separuh gelanggang ketika mengikuti kem latihan pusat di University of Bath.

Keadaan itu menyebabkan Chong Wei mula meragui kemampuannya untuk memberikan saingan dalam temasya berkenaan, apatah lagi beliau perlu berdepan pemain terbaik dunia untuk merealisasikan impian memenangi pingat emas pertama negara.

Menurut beliau, kecederaan yang dialaminya ketika Piala Thomas di Wuhan, China, pada Mei 2012 telah memberikan kesan besar kepada persiapan Olimpik yang ketika itu semakin hampir.

Chong Wei berkongsi pengalaman tersebut dalam podcast Ngopi Dengan Zafrul bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, baru-baru ini.

Beliau berkata, kecederaan buku lali kanan yang dialami ketika berdepan Peter Gade dari Denmark menyebabkan ligamen dan tendon mengalami kerosakan sehingga memaksanya menghentikan perlawanan.

Lebih mengecewakan, pemeriksaan perubatan selepas pulang ke Malaysia menyaksikan seorang doktor menasihatkan supaya beliau tidak meneruskan hasrat menyertai Sukan Olimpik London.

“Doktor yang memeriksa saya terus berkata, ‘Chong Wei, kamu tidak boleh beraksi di Olimpik.’ Saya terus menangis. Itulah pengalaman paling sukar sepanjang karier saya.

“Sebabnya, saya sendiri tidak pasti sama ada masih boleh beraksi pada Olimpik 2016. Perkara paling ditakuti seseorang atlet ialah kecederaan.

“Tetapi saya beritahu diri sendiri bahawa walau apa pun yang berlaku, saya tetap mahu beraksi di Olimpik,” katanya.

Chong Wei kemudian menjalani pemulihan intensif dengan bantuan pasukan perubatan dan fisioterapi bagi membolehkan beliau kembali menjalani latihan.

Antara rawatan yang diterimanya termasuk terapi sel stem bagi membantu proses pemulihan kecederaan yang menjejaskan persiapan menghadapi temasya empat tahun sekali itu.

Pada Jun 2012, laporan Reuters turut merekodkan bahawa Chong Wei menjalani program pemulihan sehingga 12 jam sehari, merangkumi latihan ringan, fisioterapi, latihan dalam air serta aktiviti di gimnasium.

Namun, usaha tersebut masih belum membolehkan beliau kembali menjalani latihan sepenuhnya apabila kem persiapan akhir diadakan di University of Bath.

“Sepanjang latihan selama 10 hari di Bath, saya hanya mampu bermain di separuh gelanggang dan masih berasa sakit. Ketika menjalani latihan di gelanggang utama di Arena Wembley, saya masih tidak dapat berlatih.

“Apabila isteri saya, Wong Mew Choo, datang memberikan sokongan, saya beritahu dia, ‘Habislah peluang saya pada Olimpik kali ini.’

“Mujurlah ahli fisioterapi membalut buku lali saya dengan kemas, menasihatkan saya mengambil ubat tahan sakit dan membantu saya meneruskan perjuangan,” katanya.

Ketika itu, Chong Wei terpaksa mengharungi persiapan dengan tempoh latihan penuh yang sangat terhad berbanding kebiasaannya.

Malah, beberapa hari sebelum temasya bermula, beliau masih belum mencapai tahap kecergasan yang benar-benar memuaskan.

Bagaimanapun, Chong Wei tetap meneruskan penyertaan dan memulakan cabaran dalam kategori perseorangan lelaki dengan menentang Ville Lang dari Finland.

Perlawanan pembukaan itu memberikan ujian awal apabila beliau terpaksa mengharungi tiga set sebelum menang 21-8, 14-21, 21-11.

Chong Wei kemudian meningkatkan prestasi pada pusingan berikutnya sehingga berjaya mara ke separuh akhir dan menewaskan pemain China, Chen Long, 21-13, 21-14.

Kemenangan tersebut memastikan beliau kembali beraksi dalam final Olimpik buat kali kedua berturut-turut selepas pencapaian di Beijing pada 2008.

Pada perlawanan akhir di Arena Wembley, Chong Wei menentang Lin Dan dari China dalam pertarungan yang berlangsung selama 79 minit.

Beliau berjaya memenangi set pertama 21-15 sebelum Lin Dan bangkit untuk menguasai dua set berikutnya 21-10, 21-19, sekali gus menafikan impian pemain Malaysia itu meraih pingat emas.

Walaupun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, Chong Wei mengakui perjalanan menuju final tersebut merupakan antara pengalaman paling sukar yang pernah dihadapinya.

“Impian saya adalah untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia dan saya sudah memberikan segala-galanya, tetapi akhirnya tewas di final. Itulah perjalanan paling sukar dalam karier saya,” katanya.

Chong Wei kemudiannya meneruskan penyertaan di Olimpik Rio 2016 dan sekali lagi meraih pingat perak, menjadikan jumlah keseluruhan pencapaiannya tiga pingat perak Olimpik.

Pendedahan tersebut memperlihatkan bahawa kejayaan yang diraihnya di London bukan sekadar bergantung kepada kemampuan di gelanggang, malah turut didahului proses pemulihan yang panjang ketika peluang untuk menyertai temasya itu sendiri pernah diragui.