Kelab bola sepak paling berpengaruh di Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila Transfermarkt mengesahkan nilai pasaran Harimau Selatan kini mencecah €14.08 juta, bersamaan RM71.8 juta. Nilai tersebut membuktikan JDT masih gah sebagai kelab tempatan paling bernilai di Malaysia hasil pendekatan mereka memperkukuh pasukan dengan kehadiran beberapa pemain warisan serta import berpengalaman tinggi.
Di bawah kendalian Xisco Munoz, JDT kini dibarisi 39 pemain. Keputusan membawa masuk penyerang warisan baharu, Joao Figueiredo nyata berbaloi apabila pemain tersebut dinilai pada €2 juta (RM9.96 juta), menjadikannya pemain termahal di dalam skuad ketika ini. Penyerang Brazil, Jairo Da Silva pula menduduki tangga kedua dengan nilai pasaran sebanyak €900,000 (RM4.4 juta).
Turut menjadi taruhan baharu JDT ialah Jon Irazabal, pemain warisan yang bernilai €600,000 (RM3 juta). Seorang lagi pemain import, Hector Hevel, yang berhijrah dari Portimonense, Portugal pula dinilai pada €400,000 (RM2 juta). Bagi senarai pemain tempatan, tonggak utama Harimau Malaya, Arif Aiman Mohd Hanapi kekal sebagai permata paling bernilai dengan nilai pasaran sekitar €650,000 (RM3.2 juta). Beliau juga berjaya mempertahankan gelaran MVP ABK sebanyak empat musim berturut-turut.
Musim depan menyaksikan JDT menambah kekuatan dengan lapan pemain baharu. Selain Figueiredo, Irazabal dan Hevel, turut menyertai pasukan ialah Jairo, Antonio Glauder, Ibrahim Manusi, Moussa Sidibe serta Jonathan Silva. Secara keseluruhan, nilai pembelian mereka dianggarkan melebihi RM28 juta, satu jumlah yang cukup besar bagi memastikan JDT sentiasa bersaing pada tahap terbaik.
Di sebalik pembelian besar-besaran, kelab ini juga melakukan rombakan dengan melepaskan 11 pemain yang tamat kontrak. Nama-nama seperti Jese Rodriguez, Alvaro Gonzalez, Jordi Amat, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Roque Mesa dan Anselmo de Moraes kini bukan lagi sebahagian daripada Harimau Selatan. Empat pemain tempatan Safiq Rahim, Farizal Marlias, Izham Tarmizi serta Ramadhan Saifullah turut tidak disambung kontrak, membuka ruang kepada wajah baharu untuk membuktikan kemampuan.
Walaupun nilai pasaran semasa JDT sedikit menurun berbanding rekod musim lalu iaitu €17.2 juta (RM85.62 juta), ia dijangka tidak kekal lama kerana usaha berterusan pihak pengurusan membawa masuk pemain berkualiti dijangka melonjakkan kembali nilai pasaran kelab tersebut. Malah, sasaran utama JDT adalah untuk menembusi saingan Piala Dunia Kelab, sesuatu yang memerlukan pelaburan pemain yang berterusan.
Cabaran yang menanti Harimau Selatan pada musim depan bukan calang-calang. Tiga kejohanan besar iaitu Liga Malaysia, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menanti mereka. Persaingan sengit di peringkat serantau dan Asia memerlukan skuad yang ampuh, tersusun dan mampu berdaya saing sepanjang musim.
Pengurusan JDT sedar hanya dengan strategi tepat dan pelaburan bijak mereka boleh kekal relevan di persada bola sepak Malaysia dan Asia. Langkah pembelian pemain warisan serta import bernilai tinggi adalah bukti kesungguhan kelab untuk terus mengekalkan gelaran gergasi bola sepak tempatan.