Rasa terkejut dan tidak percaya masih menyelubungi hati bekas pemain kebangsaan, Faiz Subri apabila mengenang detik pemergian penjaga gol legenda Pulau Pinang, Firos Mohamed. Faiz masih belum dapat menerima kenyataan bahawa arwah pergi buat selama-lamanya ketika sedang beraksi di padang.
“Saya betul-betul terkejut, memang tak sangka langsung boleh berlaku begini. Apa pun kita sama-sama doakan arwah tenang di sana,” ujar Faiz dengan nada yang masih sarat emosi ketika dihubungi.
Perlawanan Legend All Star yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam kelmarin sepatutnya menjadi medan mempererat silaturahim antara pemain-pemain bola sepak pelbagai generasi. Namun, siapa sangka, di situ jugalah detik terakhir buat Firos Mohamed apabila beliau rebah secara tiba-tiba di atas padang ketika perlawanan sedang berlangsung.
Faiz yang ketika itu mewakili pasukan Perlis berkata dia sendiri menyaksikan bagaimana tragedi tersebut berlaku di depan mata. Kejadian itu begitu pantas dan membuatkan semua pemain serta penonton terdiam seketika.
“Saya memang main dalam perlawanan itu. Saya di stadium wakili Perlis. Tiba-tiba arwah rebah di tengah padang. Mungkin sebab terlalu letih atau tidak cukup rehat. Saya harap keluarga arwah diberi kekuatan untuk hadapi dugaan ini. Saya juga minta semua penyokong di seluruh negara doakan yang baik-baik buat arwah,” katanya lagi.
Peristiwa mengejutkan ini segera mendapat perhatian ramai pihak. Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA) turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham. Presiden PAFA, Datuk Azhar Jamaluddin segera ke hospital sejurus dimaklumkan mengenai insiden itu. Kehadiran beliau adalah sebagai tanda penghormatan terakhir kepada penjaga gol yang pernah membawa nama Pulau Pinang gah di persada bola sepak negara.
Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut berada di hospital bagi menzahirkan penghormatan mereka kepada Allahyarham serta ahli keluarga.
Dalam kenyataan rasmi PAFA, seluruh warga bola sepak negeri Perak menitipkan doa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. PAFA juga menyampaikan salam takziah kepada keluarga dan komuniti bola sepak Pulau Pinang yang kini berduka.
“PAFA dan warga bola sepak negeri Perak amat bersimpati dengan pemergian Allahyarham. Kami doakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan insan beriman. Salam takziah buat keluarga serta seluruh warga bola sepak Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.
Pemergian Firos Mohamed bukan sahaja mengejutkan dunia bola sepak tetapi turut meninggalkan kenangan mendalam buat rakan sepasukan, sahabat handai serta penyokong setia. Nama Firos akan terus dikenang sebagai penjaga gol berjiwa besar yang sentiasa berjuang demi maruah pasukan.
Dalam saat penuh kesedihan ini, seluruh rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak diharap dapat sama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham. Semoga keluarga yang ditinggalkan tabah menghadapi dugaan besar ini.
Al-Fatihah.