Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka tirai jelajah pramusim mereka di Sepanyol dengan kemenangan bergaya apabila membenam cabaran Real Murcia Imperial 4-0 dalam satu aksi persahabatan yang diadakan di Alicante. Real Murcia Imperial yang dikenali sebagai pasukan kedua bagi Real Murcia, kini bermain dalam Primera Federación, liga divisyen tiga di Sepanyol.
Skuad Harimau Selatan yang kini menjalani latihan intensif di Eropah dijadualkan mengadakan kem latihan lebih tiga minggu di sana, termasuk mengatur lapan perlawanan persahabatan bagi menguji kekuatan pasukan menjelang musim baharu Liga Super. Perlawanan di pusat latihan Melia Villaitana ini menjadi medan pertama skuad kendalian Xisco Munoz menurunkan beberapa pemain baharu yang baru menyertai pasukan.
Dalam aksi tersebut, penyerang berbisa Bergson da Silva memastikan JDT mendahului dengan jaringan pantas seawal minit kelima. Tidak lama selepas itu, Jairo da Silva, pemain penyerang baharu JDT yang berusia 33 tahun, segera mencatat nama sebagai penjaring kedua apabila meledak gol pada minit ke-20. Jairo nyata pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT meskipun baru menyertai skuad.
Barisan pemain baharu lain seperti Jon Irazabal, Antonio Glauder dan Hector Hevel juga diberi peluang beraksi dalam perlawanan sulung ini, sekaligus menguji tahap persefahaman dengan pemain sedia ada. Selepas tamat separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol, pasukan Harimau Selatan menambah lagi dua gol pada babak kedua melalui penyerang kebangsaan, Romel Morales.
Kemenangan meyakinkan ini bukan sahaja menjadi pembakar semangat awal tetapi turut memberikan gambaran bahawa persiapan JDT berada pada landasan tepat. Para penyokong pastinya teruja melihat penyerang baharu mampu segera memberikan impak positif, menandakan persaingan di bahagian serangan bakal sengit menjelang Liga Super.
Selepas kejayaan di Alicante, JDT akan meneruskan jadual padat pramusim mereka dengan aksi seterusnya menentang Costa City di Estadi Olimpic Camilo Cano. Pertemuan tersebut akan menjadi peluang buat Xisco Munoz mencuba pelbagai kombinasi pemain serta menilai tahap kecergasan menjelang kemunculan mereka dalam saingan Liga Malaysia.
Dengan skuad yang diperkuatkan beberapa muka baharu, JDT dilihat tidak mahu bergantung sepenuhnya pada tonggak lama. Sebaliknya, mereka berusaha membina variasi dalam serangan dan pertahanan agar lebih bersedia berdepan cabaran pasukan lain yang pastinya turut memperkuatkan barisan masing-masing.
Aksi pramusim di Eropah bukanlah semata-mata untuk mengutip kemenangan tetapi juga sebagai ruang memperbaiki kelemahan yang dikenalpasti musim lalu. Skuad Harimau Selatan perlu memastikan semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik sebelum turun ke pentas Liga Super yang sentiasa menjadi rebutan.
Keputusan besar menewaskan Real Murcia Imperial membuktikan JDT tidak sekadar datang melancong ke Eropah tetapi benar-benar serius melakukan persiapan rapi. Dengan baki beberapa perlawanan persahabatan lagi, setiap pemain diberi ruang membuktikan kemampuan mereka demi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
Peminat di tanah air pastinya menanti setiap perkembangan positif daripada jelajah ini dengan harapan pasukan kesayangan mereka mampu membawa pulang prestasi cemerlang untuk mempertahankan kejuaraan domestik selain mencabar di pentas serantau.