SUKAN

TERKINI : Zii Jia Sah tarik diri

Lee Zii Jia, pemain perseorangan badminton profesional negara, disahkan menarik diri daripada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 20 Julai ini. Maklumat tersebut disahkan menerusi laman rasmi Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang menyenaraikan nama pemain berusia 27 tahun itu sebagai menarik diri daripada kejohanan tersebut. Namun begitu, Team LZJ masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan sebab penarikan diri itu.

Untuk rekod, Zii Jia pernah mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika beraksi dalam Jelajah Akhir Dunia pada bulan Disember lalu. Selepas menjalani tempoh pemulihan, beliau kembali turun beraksi di Orleans Masters pada Mac tetapi gagal mara lebih jauh apabila tewas di suku akhir kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen dengan keputusan 23-21, 21-7.

Selepas itu, Zii Jia meneruskan aksinya di Kejohanan Seluruh England 2025 yang diadakan di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac. Namun, pemain utama negara itu tidak berjaya melepasi pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long dengan skor 21-19, 16-21, 12-21.

Kecederaan buku lali tersebut turut memaksa pemain ranking kelapan dunia itu untuk menarik diri daripada menyertai Kejohanan Terbuka Swiss 2025 yang dijadualkan di Basel, Switzerland pada 18 hingga 23 Mac lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Ketua Pengarahnya, Jefri Ngadirin, memaklumkan bahawa Zii Jia berada dalam keadaan baik. Jefri berkata, pihak MSN bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah berhubung dengan Team LZJ bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tindakan Zii Jia memuat naik beberapa lakaran misteri di media sosial pada Jumaat lalu.

Hantaran tersebut telah mendapat perhatian ramai apabila menerima lebih 131,000 tanda suka serta lebih 3,000 komen. Ia mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat, termasuk dakwaan bahawa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mungkin berdepan masalah kesihatan peribadi atau tekanan mental.

Biarpun pelbagai andaian timbul, kenyataan rasmi daripada pihak Zii Jia sendiri masih dinantikan bagi merungkai maksud sebenar hantaran misteri itu. Dalam pada itu, para peminat terus mendoakan agar pemain perseorangan lelaki negara tersebut segera pulih sepenuhnya dan kembali memberikan aksi terbaik di pentas antarabangsa demi mengharumkan nama negara.