Skuad Palestin kendalian jurulatih Ihab Abujazar terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 menentang Harimau Malaya dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Namun beliau menolak dakwaan bahawa kegagalan itu berpunca daripada kehilangan beberapa tonggak utama yang tidak dapat diturunkan.
Antara nama yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan termasuklah Musab Al Battat, Assad Al Hamlawi, Mohammed Saleh, Ameed Mahajna, Ameed Sawafta dan Agustin Manzur. Bagaimanapun, Ihab menegaskan bahawa ketiadaan mereka tidak merencatkan persiapan pasukan.
“Tanpa pemain-pemain tersebut, persiapan kami tetap berjalan dengan baik. Mereka juga tidak bermain dalam beberapa aksi sebelum ini. Jadi, kami tidak melihat ia sebagai satu masalah besar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih berusia itu turut memberikan pujian terhadap peningkatan prestasi Harimau Malaya yang jelas menampakkan kemajuan di bawah bimbingan Peter Cklamovski.
“Tahniah kepada pasukan Malaysia. Saya dapat lihat mereka kini semakin mantap dan berada dalam kelompok pasukan yang kuat. Mereka bermain dengan lebih tersusun dan yakin,” ujar Ihab.
Menyentuh isu pemain naturalisasi dalam skuad Malaysia, Ihab menganggap ia bukan sesuatu yang perlu dijadikan perdebatan. Baginya, semua pemain yang mewakili Malaysia layak dianggap sebagai pemain kebangsaan tanpa mengira latar belakang.
“Kehadiran pemain naturalisasi dan warisan dalam pasukan Malaysia tidak mempengaruhi keputusan. Mereka adalah sebahagian daripada bola sepak moden. Apa yang penting, mereka bermain dengan baik untuk negara yang mereka wakili,” tegasnya.
Walaupun tewas, Ihab tetap menyanjung usaha pemainnya yang berjaya bangkit pada hujung permainan. Katanya, Palestin mampu menekan benteng pertahanan Harimau Malaya pada 20 minit terakhir, namun kegagalan menyudahkan peluang jelas menjadi punca mereka pulang tanpa sebarang jaringan.
“Saya bangga dengan semangat pemain saya. Mereka tidak berputus asa dan cuba menyerang hingga wisel penamat, malangnya peluang yang ada tidak dimanfaatkan,” katanya.
Pertemuan ini menjadi medan ujian berguna untuk kedua-dua pasukan. Bagi Malaysia, kemenangan tersebut membuktikan keserasian pasukan semakin baik, manakala Palestin pula memperoleh banyak pengajaran untuk diperbaiki menjelang aksi seterusnya.