Tun Dr Mahathir Mohamad tampil mengulas isu panas yang membelenggu dunia bola sepak tanah air selepas pendedahan FIFA mengenai pemalsuan dokumen tujuh pemain import skuad Harimau Malaya. Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk penipuan yang amat memalukan dan menunjukkan pengaruh kuat individu tertentu dalam arena bola sepak negara.
Kontroversi bermula apabila badan bola sepak Vietnam meragui status tujuh pemain naturalisasi yang mewakili Malaysia. Kecurigaan itu membawa kepada siasatan oleh FIFA, yang kemudiannya menemui bukti jelas berlakunya pemalsuan dokumen rasmi melibatkan pemain berdarah warisan Malaysia. Kes berkenaan kemudiannya mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa.
Dalam program podcast “Top News” anjuran Sinar Daily, Dr Mahathir menegaskan bahawa kejadian itu mencemar maruah negara di mata dunia. “Ini bukan kesalahan kecil. Apabila sampai ke peringkat antarabangsa, ia menunjukkan wujud individu yang mempunyai kuasa luar biasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa masalah ini berpunca daripada sistem penguatkuasaan yang tidak adil dan bersifat terpilih. Menurutnya, ada pihak yang tidak bersalah disiasat tanpa sebab kukuh, sedangkan individu berpengaruh yang melakukan kesalahan tidak diambil tindakan sewajarnya. “Ada orang boleh buat salah tetapi terlepas begitu saja,” katanya lagi.
Bekas Perdana Menteri itu menambah, isu tempat lahir pemain yang dipalsukan jelas memperlihatkan cubaan untuk menipu secara terancang. “Tempat lahir sebenar di Argentina, tapi ditulis di Pulau Pinang. Itu bukan silap teknikal, tapi pembohongan nyata,” ujarnya.
FIFA dalam laporannya yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertibnya, Jorge Palacio, mendapati terdapat ketidakkonsistenan antara dokumen asal dan salinan yang dihantar oleh FAM. Kes pemain tengah Hector Hevel menjadi tumpuan apabila datuknya dikatakan lahir di Melaka dalam dokumen FAM, sedangkan sijil asal menunjukkan lahir di The Hague, Belanda.
Susulan itu, FAM dikenakan denda RM1.8 juta kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang melibatkan penggunaan dokumen palsu, manakala tujuh pemain terbabit dikenakan denda RM11,000 setiap seorang dan digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Laporan FIFA turut mengandungi kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan mereka tidak menerima dokumen asal daripada pemain berkenaan. Sebaliknya, JPN hanya mengeluarkan salinan berdasarkan data sekunder dan dokumen luar negara yang dikemukakan pihak ketiga.
Dalam perkembangan terkini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa tujuh pemain itu telah memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan. Menurut beliau, permohonan mereka antara 23 yang telah diluluskan sepanjang perkhidmatannya di KDN.
Ketika ditanya sama ada insiden ini boleh dikaitkan dengan cubaan mensabotaj negara, Dr Mahathir menolak dakwaan tersebut. Beliau menegaskan, tindakan itu bukan sabotaj tetapi akibat sikap individu yang beranggapan diri mereka kebal daripada tindakan undang-undang. “Kalau kita mahu menang, sama ada dalam politik atau bola sepak, biarlah menang dengan cara betul,” katanya mengakhiri perbualan.