SUKAN

Restu TMJ ‘syarat’ jadi Presiden FAM – Yusoff

Tanggungjawab memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memerlukan lebih daripada sekadar status atau kedudukan, sebaliknya menuntut komitmen tinggi, strategi jelas serta kefahaman mendalam terhadap keseluruhan ekosistem bola sepak negara.

Bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa jawatan Presiden bukan tempat untuk mencuba nasib, sebaliknya memerlukan individu yang benar-benar bersedia dengan pelan tindakan yang tersusun dan berasaskan realiti semasa bola sepak moden.

Menurut beliau, pendekatan ‘try and error’ tidak lagi relevan dalam mengurus organisasi sebesar FAM kerana setiap keputusan yang dibuat mempunyai impak besar terhadap hala tuju pembangunan bola sepak negara.

Beliau menjelaskan bahawa individu yang ingin memegang jawatan tersebut perlu memahami secara menyeluruh aspek pengurusan, pembangunan, kewangan serta cabaran semasa yang dihadapi dalam ekosistem bola sepak tempatan.

Dalam masa sama, Yusoff menyifatkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai figura yang memiliki keteguhan dan konsistensi dalam dunia bola sepak, selain dilihat bebas daripada pengaruh politik dan korporat.

Katanya, komitmen Tunku Mahkota Ismail terhadap bola sepak kekal utuh tanpa mengira keadaan ekonomi, sekali gus menjadikan baginda sebagai antara individu yang mempunyai kredibiliti tinggi dalam ekosistem sukan tersebut.

“Jika Tunku Mahkota Ismail tidak mahu memegang jawatan itu, maka Presiden FAM wajar dipilih dalam kalangan individu yang mendapat kepercayaan serta restu daripada baginda.

“Sejarah membuktikan FAM pernah diterajui oleh tokoh seperti Tun Abdul Razak, Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Tan Sri Hamidin Mohd Amin,” katanya.

Menurut Yusoff, realiti bola sepak masa kini menuntut lebih daripada sekadar struktur organisasi, sebaliknya memerlukan kekuatan jaringan serta pengaruh yang mampu menggerakkan keseluruhan sistem secara berkesan.

Beliau menegaskan bahawa tanpa sokongan daripada individu berpengaruh, perjalanan menuju kejayaan dalam bola sepak negara akan menjadi lebih mencabar dan berdepan pelbagai kekangan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh minat yang ditunjukkan oleh tokoh korporat dan ahli politik terhadap jawatan Presiden FAM, namun mengingatkan bahawa tidak semua mampu bertahan dalam tekanan sebenar yang dihadapi.

Katanya, dalam konteks korporat, kemampuan menjalin hubungan strategik dengan kerajaan dan kementerian berkaitan menjadi faktor penting dalam memastikan kelancaran pengurusan organisasi.

Selain itu, kesanggupan untuk menanggung beban kewangan juga menjadi elemen utama, memandangkan kos pembangunan bola sepak memerlukan perbelanjaan yang tinggi secara konsisten.

Beliau mempersoalkan sama ada individu daripada sektor korporat mampu menjamin aliran penajaan berterusan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Menurutnya, tanpa sokongan kewangan yang stabil, sukar untuk merealisasikan visi besar dalam pembangunan bola sepak negara.

Yusoff turut menekankan bahawa cabaran kepimpinan dalam era digital semakin kompleks, dengan kehadiran media sosial dan teknologi seperti AI yang mempercepatkan penyebaran maklumat serta kritikan.

Beliau menjelaskan bahawa pemimpin FAM perlu mempunyai kekuatan mental yang tinggi bagi menghadapi tekanan berterusan daripada masyarakat dan netizen.

“Mana-mana individu yang terpilih sebagai Presiden FAM perlu mempunyai kekuatan mental yang tinggi, tidak mudah goyah dan tidak ‘koyak’ apabila berdepan tekanan berterusan,” katanya.

Dari sudut politik, beliau melihat ketidakstabilan dalam landskap politik Malaysia sebagai faktor yang boleh menjejaskan kesinambungan dasar dalam organisasi sukan.

Perubahan kerajaan, menurut beliau, boleh memberi kesan terhadap perancangan jangka panjang serta sokongan yang diperlukan bagi memajukan bola sepak negara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pengurusan kewangan dalam bola sepak moden memerlukan komitmen berterusan kerana kos operasi yang tinggi dan berulang setiap tahun.

Katanya, walaupun ramai pihak boleh memberikan idea, realitinya pelaksanaan memerlukan sumber kewangan yang kukuh serta jaringan yang luas.

Beliau turut mengakui bahawa Malaysia tidak mempunyai sokongan komersial seperti negara Barat yang mendapat manfaat daripada industri perjudian dan alkohol.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa hanya individu yang mempunyai pengaruh serta keupayaan membuka peluang kewangan mampu memastikan kelangsungan pembangunan bola sepak negara.