SUKAN

Faisal Halim dedah ‘rahsia’ sebenar Pan Gon

Kapten Selangor, Faisal Halim mengakui sentuhan ketua jurulatih, Kim Pan Gon menjadi faktor utama kebangkitan skuad Gergasi Merah musim ini sehingga berjaya membentuk identiti permainan yang lebih kukuh dan kompetitif.

Pengendali dari Korea Selatan itu yang menyertai Selangor pada Januari lalu dilihat berjaya membawa perubahan besar dalam tempoh singkat apabila hanya tewas sekali dalam 21 perlawanan di bawah kendaliannya setakat ini. Rekod itu sekali gus membantu Selangor mara ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26.

Menurut Faisal, antara kekuatan utama Pan Gon ialah pendekatan yang menitikberatkan semangat berpasukan selain mentaliti untuk tidak mudah mengalah walaupun berada dalam situasi sukar ketika perlawanan berlangsung.

Pemain yang lebih dikenali sebagai Mickey itu menjelaskan bahawa Pan Gon sentiasa menekankan kepentingan kekal fokus sepanjang 90 minit permainan tanpa mengira situasi semasa pasukan di atas padang.

“Saya bersama jurulatih Kim (Pan Gon) dalam pasukan kebangsaan, sudah hampir tiga ke empat tahun bersama beliau. Begitu juga pemain lain yang mengenali watak atau karakter beliau dan apa yang beliau diinginkan.

“Beliau selalu tekankan jangan menyerah kerana dalam perlawanan kita ada 90 minit. Mungkin minit pertama atau minit 10 dibolosi, kami masih ada berbaki 80 minit untuk menterbalikkan keputusan bagi mendapatkan jaringan.

“Beliau tegaskan benda yang paling penting adalah bersatu dalam satu pasukan. Kalau kita bekerja satu pasukan, kita akan dapat hasil. Watak beliau apabila dalam padang sangat tegas dan serius.

“Tiada istilah ‘anda pemain simpanan, anda pemain utama’. Beliau melayan semua sama dan menghormati semua pemain. Apa yang beliau mahukan pemain kena tunjukkan,” katanya.

Kenyataan Faisal itu menggambarkan disiplin dan pendekatan profesional yang diterapkan Pan Gon dalam usaha membina skuad lebih stabil serta konsisten sepanjang musim. Ketegasan yang ditampilkan jurulatih berusia dari Korea Selatan itu turut membantu meningkatkan tahap persaingan sihat dalam kalangan pemain.

Pendekatan tanpa pilih kasih yang diamalkan Pan Gon juga dilihat memberi kesan positif terhadap motivasi pemain kerana setiap individu diberikan layanan sama rata tanpa mengira status dalam pasukan.

Dalam masa sama, Selangor kini berada di landasan terbaik untuk menamatkan kempen ACC dengan kejayaan apabila bakal berdepan juara bertahan, Buriram United dalam aksi final timbal balik pada Rabu ini dan 27 Mei depan.

Prestasi semasa Selangor turut menjadi perhatian apabila mereka muncul satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam saingan ACC musim ini. Rekod tersebut memperlihatkan peningkatan ketara dari segi disiplin permainan, daya tahan mental dan kemampuan pasukan mengendalikan tekanan di pentas serantau.

Faisal turut menyifatkan kejohanan ACC sebagai platform penting dalam membantu pemain meningkatkan tahap permainan menerusi persaingan kompetitif menentang pasukan berkualiti tinggi dari Asia Tenggara.

Menurutnya, intensiti permainan dalam kejohanan itu memberi pengalaman besar kepada pemain Selangor terutama ketika berdepan lawan yang memiliki kekuatan tersendiri termasuk kehadiran pemain import berkualiti.

“Piala Shopee atau ACC ini memperkenalkan satu perlawanan yang berkualiti. Kami berlawan dengan pasukan yang kuat dan pemain import yang berkualiti. Kami sebagai pemain dapat menambah baik tahap permainan apabila bermain perlawanan yang intensiti tinggi,” katanya.

Kehadiran Pan Gon jelas membawa perubahan signifikan terhadap Selangor bukan sahaja daripada sudut keputusan perlawanan, malah aspek mentaliti dan identiti permainan pasukan. Penekanan terhadap disiplin, kesatuan pasukan dan semangat juang tinggi kini menjadi antara elemen utama yang membentuk kekuatan Gergasi Merah.

Dengan aksi final semakin hampir, Selangor kini dilihat berada dalam momentum terbaik untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka di pentas ACC. Konsistensi yang dipamerkan sepanjang kempen kejohanan itu memberi keyakinan bahawa skuad kendalian Pan Gon mampu memberikan saingan sengit kepada Buriram United dalam perebutan trofi.