SUKAN

TERKINI : Malaysia sah ke suku Piala Dunia ISTAF

Malaysia meneruskan kempen cemerlang dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 apabila menamatkan aksi Kumpulan B selaku juara selepas menewaskan Myanmar 3-0 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut memastikan skuad regu berpasukan negara melangkah ke suku akhir dengan rekod bersih selain memberi kelebihan moral sebelum bertemu Jepun dalam aksi kalah mati malam esok.

Aksi menentang Myanmar memperlihatkan skuad negara berada pada tahap permainan yang lebih stabil dari segi serangan, kawalan gelanggang serta disiplin taktikal. Ketiga-tiga regu yang diturunkan berjaya melaksanakan tugas masing-masing dengan kemas untuk memastikan Malaysia tidak memberi ruang kepada lawan mencipta kebangkitan.

Regu pertama negara yang dibarisi Zulkifli Razak, Aidul Aiman dan Afifuddin Razali membuka laluan kemenangan menerusi persembahan meyakinkan. Malaysia terus mengambil inisiatif menyerang sejak awal permainan dengan tekanan berterusan menerusi servis dan rejaman tajam.

Corak permainan pantas yang dipamerkan skuad negara menyebabkan Myanmar gagal membina momentum pada set pertama. Malaysia kemudian menamatkan set berkenaan dengan kemenangan 15-7 hasil penguasaan hampir menyeluruh dalam setiap aspek permainan.

Myanmar cuba memperbaiki rentak dalam set kedua dan beberapa kali cuba memberi tekanan kepada regu pertama negara. Namun pengalaman dimiliki pemain Malaysia membantu mereka kekal tenang dalam situasi genting.

Zulkifli atau Sobey sekali lagi menjadi tonggak penting apabila berjaya memastikan servis negara terus memberi ancaman. Ketajaman dimiliki pemain itu turut membantu Malaysia mengekalkan kelebihan mata sebelum menutup set kedua 15-9 untuk menghadiahkan mata pertama negara.

Kelebihan 1-0 memberi ruang lebih selesa kepada Malaysia sebelum regu kedua mengambil alih cabaran. Barisan utama negara yang diketuai Syahir Roasdi bersama Farhan Adam dan Azlan Alias turun dengan reputasi besar dan mereka membuktikannya di gelanggang.

Malaysia mempamerkan permainan lebih tersusun dengan kombinasi serangan dan pertahanan yang seimbang. Farhan memainkan peranan penting dalam mengawal aliran permainan manakala Azlan tampil efektif ketika melakukan penyudah di jaring.

Myanmar cuba bertahan dan memberi tentangan dalam set pertama, namun Malaysia tetap berjaya mengawal permainan untuk menang 15-11. Selepas itu, skuad negara semakin selesa menguasai aksi dan tidak memberi banyak peluang kepada lawan untuk bangkit.

Set kedua menjadi milik penuh Malaysia apabila mereka mendominasi permainan dari awal hingga akhir. Myanmar gagal menandingi kepantasan pergerakan dan intensiti dipamerkan regu kedua negara sebelum Malaysia menang 15-6.

Dengan kedudukan keseluruhan 2-0, tugas regu ketiga lebih tertumpu untuk melengkapkan kemenangan bersih negara. Haziq Nizam, Amirul Zazwan dan Noraizat Nordin turun dengan pendekatan lebih berhati-hati selepas Myanmar cuba bermain lebih agresif pada awal permainan.

Saingan set pertama berlangsung lebih sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata. Namun kelebihan dari segi pengalaman mengawal tekanan membolehkan regu ketiga Malaysia menjarakkan mata pada penghujung permainan untuk menang 15-13.

Kemenangan set pertama jelas meningkatkan keyakinan pemain negara. Malaysia kemudian tampil lebih agresif dalam set kedua dengan permainan yang lebih kemas dan konsisten.

Myanmar gagal mengekang penguasaan Malaysia apabila regu ketiga negara mula mengawal hampir keseluruhan permainan. Ketepatan servis, kawalan bola pertama serta penyudah yang lebih berkesan membantu Malaysia menamatkan set kedua 15-5.

Keputusan itu sekali gus melengkapkan kemenangan 3-0 buat Malaysia dan mengesahkan status selaku juara Kumpulan B. Prestasi dipamerkan skuad negara sepanjang perlawanan turut memperlihatkan tahap kesediaan yang baik menjelang cabaran suku akhir menentang Jepun.

Malaysia kini dijangka membawa keyakinan tinggi ke pusingan seterusnya selepas mempamerkan persembahan konsisten dalam semua regu selain berjaya mengekalkan momentum kemenangan sepanjang aksi kumpulan.