SUKAN

Peluang Arif-Roy King ke Final makin Cerah

Arif Junaidi-Yap Roy King membawa misi besar ke pentas separuh akhir Masters Malaysia apabila yakin mampu menundukkan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard sekali gus melangkah ke final kejohanan berprestij itu.

Beregu lelaki negara itu hadir dengan keyakinan tinggi berdasarkan rekod pertemuan yang memihak kepada mereka selepas memenangi kesemua empat aksi terdahulu menentang gandingan Denmark berkenaan.

Rekod tersebut menjadi petunjuk penting bahawa Arif-Roy King memiliki kelebihan tertentu dari segi taktikal dan keserasian permainan apabila berdepan pasangan Eropah itu. Kali terakhir kedua-dua pasangan bertemu adalah di Seluruh England dan ketika itu wakil negara mencatat kemenangan dramatik 21-19, 18-21, 21-18.

Arif berkata, kelebihan rekod pertemuan memberikan keyakinan tambahan kepada mereka untuk turun dengan lebih tenang dalam aksi separuh akhir nanti walaupun menyedari cabaran sebenar hanya akan ditentukan di dalam gelanggang.

“Sudah tentu kami lebih memilih untuk bertemu pasangan Denmark kerana rekod pertemuan lebih memihak kepada kami. Apa-apa pun boleh berlaku kerana kami bermain di laman sendiri dan harap ada kejutan esok,” katanya.

Sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir, pasangan negara terlebih dahulu mempamerkan aksi meyakinkan ketika menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith, 21-15, 21-19 dalam tempoh 33 minit.

Walaupun menang dalam straight set, pasangan negara tetap diuji dengan tentangan agresif lawan terutama pada penghujung set kedua. Namun ketenangan dan disiplin permainan berjaya membantu Arif-Roy King mengawal tekanan untuk memastikan kemenangan tidak terlepas.

Prestasi yang dipamerkan itu dianggap sebagai antara persembahan paling stabil mereka musim ini selepas sebelum ini gagal menghasilkan keputusan konsisten dalam beberapa kejohanan terdahulu.

Arif mengakui pencapaian mara ke separuh akhir memberikan impak besar terhadap tahap keyakinan mereka selepas beberapa bulan bergelut mencari keputusan positif.

“Alhamdulillah kami berjaya mara ke separuh akhir. Kalau ikutkan keputusan sepanjang tahun ini, pencapaian terbaik kami hanyalah setakat pusingan kedua dan langsung belum pernah ke suku akhir.

“Sekarang pun sudah masuk bulan lima, jadi kejayaan ini sedikit sebanyak membantu kami membina semula keyakinan untuk menghadapi perlawanan dan kejohanan akan datang,” katanya.

Menurutnya lagi, kejayaan kali ini bukan sahaja penting dari sudut keputusan, malah membantu memperkukuhkan semula kepercayaan mereka terhadap kemampuan sendiri untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Kebangkitan prestasi di Masters Malaysia juga hadir pada waktu yang tepat ketika pasangan negara sedang berusaha memperbaiki momentum bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Dalam masa sama, faktor beraksi di laman sendiri turut memberikan kelebihan moral yang besar kepada pasangan negara. Arif mengakui sokongan penonton memainkan peranan penting terutama ketika mereka berdepan tekanan dalam perlawanan.

Katanya, walaupun jumlah penyokong pada sesi pagi tidak seramai hari sebelumnya, sorakan yang diberikan tetap membantu menaikkan semangat mereka di gelanggang.

“Memang sangat membantu, cuma mungkin kerana kami bermain pada sesi pagi hari ini, jumlah penyokong tidak seramai semalam. Bagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana masih ada penyokong yang hadir memberi sokongan di dalam stadium,” katanya.

Sementara itu, Roy King berharap momentum kemenangan dapat diteruskan sehingga ke final dan seterusnya membuka peluang untuk memburu gelaran pertama musim ini.

Namun beliau menjelaskan bahawa pasangan negara tidak mahu terlalu terbeban memikirkan soal kejuaraan kerana persiapan mereka menjelang kejohanan kali ini sebenarnya cukup singkat.

“Sudah tentu setiap pemain mengimpikan gelaran itu, namun kami tidak terlalu memikirkannya kerana persiapan kami juga agak singkat apabila hanya seminggu menjalani latihan di gelanggang.

“Jadi, kami sendiri tidak menyangka mampu mara hingga ke separuh akhir. Harapnya pada perlawanan esok kami dapat melakar kejutan dan seterusnya memburu gelaran, selain berharap dapat menyaksikan final membabitkan pertemuan sesama wakil Malaysia,” katanya.

Kini, dengan keyakinan yang semakin meningkat serta sokongan padu penyokong tempatan, Arif-Roy King berada dalam posisi terbaik untuk meneruskan cabaran dan memburu satu lagi kemenangan penting di Masters Malaysia.