SUKAN

Herry tegur tindak Aaron baling Raket

Prestasi keseluruhan beregu lelaki negara pada Masters Malaysia kali ini mungkin tidak menyamai pencapaian cemerlang tahun lalu, namun ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi tetap melihat perkembangan positif terutama dalam aspek corak permainan dan pemahaman taktikal pemain muda negara.

Jurulatih dari Indonesia itu mengakui keputusan yang dicatatkan kali ini tidak memuaskan apabila tiada wakil di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjaya melangkah ke final kejohanan berkenaan.

Pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta gandingan muda, Arif Junaidi-Yap Roy King sekadar menamatkan saingan di peringkat separuh akhir.

Situasi itu jelas berbeza berbanding edisi tahun lalu yang menyaksikan pentas final dikuasai sepenuhnya wakil Malaysia menerusi pertemuan sesama sendiri antara Man Wei Chong-Tee Khai Wun dan Aaron-Wooi Yik sebelum Wei Chong-Khai Wun muncul juara kejohanan.

“Kalau dari keputusan memang hasil tak baiklah. Tahun lalu lebih bagus sebab ada final sesama Malaysia, tahun ini hanya sampai separuh akhir.

“Tapi saya masih dapat melihat peningkatan daripada beberapa pasangan muda terutama dari segi corak permainan dan pemahaman taktikal di gelanggang,” katanya.

Walaupun pencapaian keseluruhan tidak mencapai sasaran diharapkan, Herry tetap melihat perkembangan memberangsangkan dalam kalangan pemain muda yang sedang dibentuk bagi memperkukuhkan masa depan skuad beregu lelaki negara.

Menurutnya, beberapa pasangan mula menunjukkan peningkatan dari segi kematangan permainan selain semakin memahami pendekatan taktikal yang diterapkan sepanjang latihan dan pertandingan kompetitif.

Antara pasangan yang diberikan perhatian ialah Arif-Roy King serta Kang Khai Xing-Aaron Tai yang menurutnya mula memperlihatkan kemajuan walaupun masih belum berjaya menghasilkan keputusan besar di pentas antarabangsa.

“Dari cara mereka bermain memang ada kemajuan dibanding tahun lalu. Apa yang saya harapkan sudah mula nampak,” katanya.

Penilaian itu memperlihatkan fokus Herry bukan sekadar terhadap keputusan semasa, tetapi turut memberi perhatian kepada proses pembangunan jangka panjang pemain muda negara.

Beliau dilihat cuba membentuk skuad yang bukan sahaja mampu bersaing dari sudut fizikal dan teknikal, malah memiliki kekuatan taktikal serta kestabilan mental ketika berdepan tekanan dalam perlawanan besar.

Dalam masa sama, Herry turut memberikan perhatian terhadap aspek emosi melibatkan pasangan nombor dua dunia, Aaron-Wooi Yik ketika aksi separuh akhir.

Menurutnya, pasangan berpengalaman itu gagal mengawal emosi dengan baik sehingga memberi kesan terhadap rentak permainan mereka sepanjang perlawanan tersebut.

Beliau berpandangan Aaron-Wooi Yik terlalu mahu memburu kemenangan sehingga tekanan yang dihadapi menyebabkan mereka hilang ketenangan ketika lawan tampil lebih stabil dan yakin.

“Saya nampak Aaron dan Wooi Yik sedikit gementar serta terlalu mahu menang sangat.

“Mungkin sebab itu mereka kurang boleh kawal emosi dan kita nampak sampai Aaron baling raket di gelanggang,” katanya.

Herry menegaskan tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Aaron-Wooi Yik merupakan pemain senior dalam skuad kebangsaan dan menjadi rujukan kepada pemain muda lain.

Menurutnya, pemain berpengalaman perlu menunjukkan contoh terbaik terutama dari sudut disiplin dan pengawalan emosi ketika berada dalam situasi tekanan tinggi di gelanggang.

Beliau turut mengakui pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tampil dengan prestasi lebih berkualiti dalam aksi tersebut.

Katanya, pasangan itu berjaya menyerap tekanan dengan baik selain mampu mematahkan serangan bertali arus daripada Aaron-Wooi Yik sepanjang perlawanan berlangsung.

Ketenangan yang dipamerkan lawan jelas memberikan kelebihan besar terutama ketika permainan memasuki fasa kritikal yang memerlukan kestabilan mental dan keyakinan tinggi.

Mengulas mengenai hala tuju skuad beregu lelaki negara musim ini, Herry menjelaskan fokus utama sebenarnya terarah kepada dua kejohanan besar iaitu Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.

Menurutnya, kedua-dua kejohanan itu menjadi sasaran paling penting buat skuad negara dan segala perancangan dilakukan bagi memastikan pemain berada pada tahap terbaik apabila tiba waktunya nanti.

Katanya, matlamat utama pasukan adalah memastikan pemain mampu mencapai prestasi optimum terutama dalam usaha memburu pingat emas di Sukan Asia.

Penekanan terhadap pembangunan taktikal, kekuatan mental dan kestabilan prestasi dilihat menjadi antara elemen utama yang sedang diterapkan Herry dalam usaha membina skuad beregu lelaki yang lebih mantap untuk cabaran lebih besar selepas ini.