Ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun mengakui final acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 bukan penamat yang diharapkan beliau walaupun Malaysia akhirnya muncul juara selepas Thailand mengambil keputusan meninggalkan gelanggang ketika aksi penentuan di Stadium Titiwangsa.
Pengendali skuad negara itu berkata, beliau lebih selesa melihat sesuatu kemenangan ditentukan melalui persaingan penuh di dalam gelanggang dan bukannya dalam suasana kontroversi yang menimbulkan pertikaian daripada pihak lawan.
Malaysia sebelum itu berada dalam pertarungan sengit dengan Thailand pada regu ketiga final apabila lawan mendahului 14-13 sebelum pengadil menghadiahkan mata kepada skuad negara selepas mendapati pemain Thailand melakukan kesalahan ketika membuat libasan apabila kaki melepasi garisan bawah jaring.
Keputusan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati daripada kem Thailand yang kemudian enggan meneruskan baki perlawanan walaupun pengadil telah memberikan peluang untuk mereka kembali ke gelanggang.
Ahmad Jais menjelaskan bahawa beliau memahami ketidakpuasan hati pasukan lawan, namun keputusan pengadil perlu dihormati terutama selepas rakaman video menunjukkan kesalahan tersebut benar-benar berlaku.
“Bagi saya secara peribadi, memang kita tidak berpuas hati dengan kemenangan sebegini. Namun dah rezeki pasukan kita untuk mencipta kejayaan dalam situasi sebegini dan kita terima keputusan ini,” kata Ahmad Jais.
Beliau berkata, dalam perlawanan bertaraf tinggi yang melibatkan tekanan besar, setiap keputusan pengadil memainkan peranan penting dan semua pasukan perlu menerima keputusan yang sudah dimuktamadkan demi memastikan perjalanan pertandingan kekal profesional.
“Mungkin mereka tidak puas hati dengan keputusan pengadil. Namun kalau kita tengok daripada video rujukan, memang ternyata kaki pemain Thailand melepasi jaring bawah.
“Bagi saya apa yang berlaku itu semuanya keputusan pengadil dan kita perlu menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan yang telah dimuktamadkan,” katanya.
Menurut Ahmad Jais, situasi tersebut turut menyebabkan final berkenaan gagal mencapai penutup yang benar-benar memuaskan kerana baki beberapa mata terakhir masih mampu mengubah keputusan perlawanan.
Beliau tidak menafikan Thailand masih memiliki peluang untuk menamatkan aksi dengan kemenangan sekiranya perlawanan diteruskan dan skuad negara juga terpaksa berdepan tekanan besar untuk mempertahankan momentum ketika itu.
“Sebenarnya peluang untuk perlawanan itu masih terbuka dan sekiranya insiden itu tidak berlaku, pasukan negara akan berdepan cabaran yang besar.
“Belum tentu kita boleh menjadi juara pada malam itu, tetapi apa yang dilakukan pasukan Thailand akhirnya menjadi kerugian kepada mereka,” katanya.
Ahmad Jais turut menegaskan bahawa sikap profesional amat penting dalam pertandingan kompetitif seperti final kejohanan dunia kerana setiap pasukan perlu menyelesaikan perlawanan sehingga tamat walaupun berlaku situasi yang tidak memihak kepada mereka.
Katanya, pengadil telah memberikan ruang secukupnya kepada Thailand untuk membuat keputusan kembali bermain, namun tindakan meninggalkan gelanggang akhirnya memberi kesan besar kepada pasukan itu sendiri.
“Pengadil sudah memberikan masa untuk mereka kembali ke gelanggang, namun mereka memilih untuk tidak meneruskan perlawanan.
“Bagi saya mereka perlu bersikap profesional untuk meneruskan perlawanan pada baki beberapa mata lagi,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau tetap memuji tahap disiplin, semangat juang dan komitmen dipamerkan pemain negara sepanjang kempen kejohanan kali ini. Ahmad Jais menyifatkan kejayaan menjuarai acara kuadran dan acara berpasukan sebagai hasil kerja keras yang dilakukan secara konsisten oleh skuad kebangsaan.
Menurutnya, pemain menunjukkan ketahanan mental yang baik sepanjang kejohanan dan berjaya mengharungi tekanan perlawanan demi perlawanan sebelum muncul juara di laman sendiri.
“Kita perlu meraikan pemain-pemain yang sudah berusaha bersungguh-sungguh, berlatih dengan penuh komitmen dan menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Alhamdulillah, kita berjaya menunaikan tugas sebagai juara acara kuadran dan juga acara berpasukan pada edisi kali ini,” katanya.
Kemenangan itu memberikan penutup positif buat kem Malaysia dalam kejohanan kali ini meskipun final berakhir dalam suasana yang mencetuskan perdebatan. Apa yang pasti, skuad negara tetap berjaya menyempurnakan misi utama untuk menamatkan saingan sebagai juara selepas melalui aksi kompetitif yang penuh tekanan sepanjang pertandingan berlangsung.