Kelantan The Real Warriors FC sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada First Instance Body (FIB), sekali gus menutup peluang kelab itu untuk bersaing dalam kancah utama bola sepak negara bagi musim 2026/27.
Keputusan berkenaan diumumkan oleh Pemangku Pengerusi FIB, Hussaini Hussin menerusi kenyataan rasmi selepas badan itu meneliti keseluruhan permohonan Lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Lesen Kebangsaan yang dikemukakan oleh semua kelab bertanding.
Menurut Hussaini, Kelantan The Real Warriors FC tidak berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sekali gus menyebabkan permohonan mereka ditolak.
“FIB juga mengesahkan bahawa Kelantan The Real Warriors FC tidak diberikan lesen kebangsaan kerana permohonan yang dikemukakan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan MFL,” katanya.
Perkembangan itu memberikan tamparan besar kepada kelab berkenaan yang sebelum ini berharap dapat terus bersaing dalam saingan Liga Super. Keputusan tersebut turut memperlihatkan ketegasan FIB dalam memastikan semua kelab mematuhi syarat pelesenan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.
Hussaini menjelaskan bahawa proses penilaian dilakukan berdasarkan keseluruhan dokumen yang dihantar oleh setiap kelab dengan penelitian menyeluruh terhadap tahap pematuhan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2025/26.
Menurut beliau, keputusan yang dibuat bukan sekadar berdasarkan satu aspek tertentu, sebaliknya melibatkan penilaian komprehensif terhadap semua kriteria yang ditetapkan dalam sistem pelesenan kelab.
“Hasil penilaian Jawatankuasa FIB Pelesenan Kelab MFL memutuskan bahawa tujuh kelab Liga Super berjaya mendapatkan Lesen AFC dan Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC,” katanya.
Kelulusan kepada tujuh kelab itu menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang lebih stabil daripada sudut pentadbiran, pengurusan dan pematuhan terhadap garis panduan pelesenan yang ditetapkan oleh badan pengelola liga.
Dalam masa sama, empat lagi kelab Liga Super diberikan lesen kebangsaan berserta tindakan pengawasan tambahan atau ‘sanction’ mengikut Artikel 8.2 MFL CLR.
“Empat kelab pula diberikan lesen kebangsaan dengan ‘sanction’ adalah Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC mengikut artikel 8.2 MFL CLR,” kata Hussaini lagi.
Menurut beliau, keempat-empat kelab terbabit perlu mengemukakan maklumat tambahan berkaitan kewangan bagi memenuhi tuntutan di bawah Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
“Hussaini menjelaskan keempat kelab pasukan terbabit dikehendaki mengemukakan maklumat tambahan kewangan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur selewat-lewatnya pada 15 Julai 2026.
“Kegagalan berbuat demikian maka perkara tersebut akan dirujuk semula kepada pihak FIB untuk tindakan selanjutnya.”
Situasi itu memperlihatkan bahawa proses pelesenan tidak hanya tertumpu kepada prestasi di atas padang, tetapi turut memberi perhatian serius terhadap kestabilan kewangan dan keupayaan operasi sesebuah kelab untuk mengharungi satu musim pertandingan yang kompetitif.
Dalam kenyataan sama, Hussaini turut mengesahkan bahawa Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC dikenakan denda sebanyak RM45,000 mengikut Artikel 8 (f) MFL CLR.
“Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC dikenakan denda sebanyak RM45,000 di bawah Artikel 8 (f) MFL CLR.
“Berdasarkan Artikel 3.2 (a) dan Artikel 8, untuk pemberian Lesen Kebangsaan sahaja, ketidakpatuhan kepada Kriteria Gred A dan B, pihak FIB boleh memberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’,” katanya.
Selain perkembangan melibatkan Liga Super, FIB turut mengumumkan empat kelab daripada AFL A1 berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan Luar Biasa bagi Kitaran Pelesenan Kelab MFL 2025-2026.
Kelab terbabit ialah Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC.
Kelulusan berkenaan dibuat dengan merujuk kepada Artikel 15 bagi kitaran pelesenan musim berkenaan, sekali gus membolehkan kelab-kelab tersebut memenuhi syarat untuk terus bersaing dalam struktur pertandingan yang berkaitan.
Sebagai rekod, proses pelesenan kelab melibatkan enam kriteria utama iaitu sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan.
Kesemua aspek itu dinilai secara menyeluruh bagi memastikan setiap kelab mempunyai keupayaan operasi yang stabil, pengurusan profesional dan struktur pentadbiran yang mampu menyokong perjalanan satu musim pertandingan.
Lesen yang diluluskan pula hanya sah untuk satu musim pertandingan bagi saingan AFC dan Liga Super MFL musim 2026/27.