‘PANDAI-pandai angkat beg balik rumah’
Itu amaran keras legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei kepada mana-mana pemain kebangsaan yang masih berdegil dengan melakukan masalah disiplin sehingga menjejaskan reputasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Tiada lagi ruang untuk kompromi terhadap pemain yang terus mengulangi kesalahan disiplin dalam skuad badminton kebangsaan.
Itulah pendirian tegas yang disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, apabila menegaskan bahawa pengurusan persatuan bersedia mengambil tindakan paling drastik termasuk menyingkirkan pemain yang gagal mematuhi peraturan.
Menurut legenda badminton negara itu, disiplin merupakan asas utama dalam pembentukan atlet yang berjaya dan perkara tersebut tidak boleh dikompromikan walau dalam apa keadaan sekalipun.
Beliau berkata, setiap pemain telah diberikan peluang serta peringatan yang mencukupi dan kini BAM tidak lagi mempunyai alasan untuk terus bertolak ansur terhadap kesalahan yang berulang.
“Untuk saya, memang saya dan jawatankuasa BAM selalu katakan disiplin adalah nombor satu. Ia sangat penting untuk atlet kita.
“Masa Terbuka Malaysia lalu pun saya ada buat kenyataan. Ada wartawan bertanya dan saya katakan contohnya Leong Jun Hao, saya sudah berikan amaran terakhir kepadanya,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika BAM sedang memperkukuhkan pendekatan terhadap aspek disiplin dalam kalangan pemain yang berada di bawah program kebangsaan.
Chong Wei menjelaskan bahawa beliau tidak mahu mengulas secara terperinci mengenai kesalahan yang dilakukan pemain tertentu kerana perkara tersebut berada di bawah pemantauan jurulatih yang mengikuti perkembangan atlet secara lebih dekat.
Namun beliau menegaskan bahawa isu disiplin tidak boleh dianggap sebagai perkara kecil kerana kesannya mampu mempengaruhi perjalanan karier seseorang pemain.
Sebagai individu yang menghabiskan hampir dua dekad sebagai pemain kebangsaan, Chong Wei mempunyai pengalaman luas dalam memahami tuntutan untuk kekal kompetitif di peringkat tertinggi.
Beliau percaya kejayaan bukan sekadar bergantung kepada kemampuan teknikal atau fizikal, tetapi juga dipengaruhi oleh tahap disiplin yang diamalkan setiap hari.
“Saya sendiri sebagai bekas atlet selama 19 tahun di BAM, saya nampak disiplin ini sangat penting untuk karier seorang atlet.
“Saya sudah berbincang dengan jawatankuasa dan Presiden, dan Presiden bersetuju dengan apa yang saya lakukan,” katanya.
Menurut beliau lagi, keputusan untuk mengambil tindakan lebih tegas bukanlah keputusan individu semata-mata, sebaliknya dibuat selepas perbincangan bersama jawatankuasa dan Presiden BAM.
Perkara itu menunjukkan bahawa pengurusan tertinggi badan induk berkenaan mempunyai pendirian yang sama dalam memastikan standard disiplin sentiasa dipelihara.
Mengulas mengenai amaran terakhir yang diberikan kepada pemain tertentu, Chong Wei berkata tindakan seterusnya akan diambil jika pemain berkenaan masih gagal menunjukkan perubahan.
“Memang kami sudah bincang dengan Presiden tadi. Presiden pun sudah cakap, kami memang akan keluarkan mana-mana pemain yang ada masalah disiplin.
“Kami bagi amaran terakhir, macam Jun Hao. Saya tak mahu cakap banyak lagi, tetapi pemain kena faham disiplin itu bukan sekadar penting, ia adalah segala-galanya.
“Kami mahu pemain bangkit sendiri dan sedar apa yang berlaku dalam beberapa tahun ini mengenai masalah disiplin mereka,” katanya.
Beliau berharap pemain yang menerima amaran dapat mengambil peluang tersebut untuk memperbaiki diri dan menunjukkan komitmen yang lebih baik terhadap pasukan kebangsaan.
Pada masa sama, mesej yang disampaikan itu turut ditujukan kepada semua pemain agar memahami bahawa pematuhan terhadap peraturan merupakan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
Sementara itu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini turut menyatakan bahawa penguatkuasaan disiplin dalam skuad kebangsaan akan diperketatkan.
Antara langkah yang diumumkan ialah mewajibkan pemain yang belum berkahwin tinggal di asrama, manakala kegagalan mematuhi ketetapan tersebut boleh menyebabkan mereka tidak dibenarkan mewakili negara.
Gabungan pendirian tegas daripada Presiden BAM dan Jawatankuasa Prestasi memberikan gambaran jelas bahawa disiplin kini menjadi antara agenda utama dalam pengurusan skuad badminton kebangsaan.