Kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 15 Tahun membuka lembaran penting dalam perjalanan sukan Putra Assolihin Mohamad Hamim yang sebelum ini menjalani rutin harian penuh cabaran sebagai pelajar madrasah.
Pemain dari Maahad Integrasi Madad itu mencuri perhatian apabila menamatkan kempen kejohanan dengan bergelar juara kebangsaan, sekali gus menghadiahkan detik paling bermakna buat bapanya, Mohamad Hamim Mohamad Hanapi.
Sebaik kemenangan disahkan di Arena Sukan Kasturi, Putra berlari ke arah bapanya sebelum memeluk erat insan yang selama ini menjadi tulang belakang kepada perkembangan karier badmintonnya.
“Syukur Alhamdulillah, Allahuakbar. Itu saja yang mampu saya jerit berulang kali bersama linangan air mata kerana terlalu sebak. Putra tak cakap banyak, dia cuma peluk dan bisik ‘terima kasih abah’,” katanya.
Bagi Mohamad Hamim, kejayaan itu hadir selepas bertahun-tahun usaha yang dilaksanakan secara konsisten sejak Putra mula mengenali badminton ketika berusia enam tahun.
Sebagai pengurus perniagaan, beliau mengambil tanggungjawab menguruskan keseluruhan perjalanan kerjaya anaknya secara persendirian tanpa bergantung kepada pihak lain. Daripada perancangan latihan hingga penyertaan kejohanan, semuanya disusun sendiri bagi memastikan perkembangan Putra berjalan mengikut perancangan.
Menurut beliau, perjalanan tersebut bukan sentiasa mudah kerana Putra juga berdepan cabaran keletihan akibat komitmen yang banyak, namun semangatnya kembali meningkat apabila melihat hasil yang mampu diperoleh menerusi bidang sukan.
“Jadual kejohanan dan program latihan semuanya saya uruskan. Memang dia pernah mengeluh penat, namun bila dia faham kerjaya sukan ini membuahkan hasil seperti tajaan dan dapat beri duit belanja kepada ibunya, dia terus bersemangat,” katanya.
Di luar gelanggang, Putra perlu menyesuaikan diri dengan jadual yang cukup tersusun. Setiap hari bermula selepas Subuh dengan kelas hafazan al-Quran selama dua jam sebelum meneruskan sesi persekolahan.
Selepas menamatkan urusan akademik, hanya tempoh antara jam 5 petang hingga 7 malam diperuntukkan untuk latihan badminton. Walaupun masa latihan itu tidak panjang, komitmen dan disiplin tinggi membolehkannya mengekalkan prestasi yang diperlukan untuk bersaing di peringkat kebangsaan.
Kemampuan mengimbangi pelajaran, hafazan dan sukan menjadi antara kekuatan utama pemain muda tersebut. Malah, kesibukannya semakin bertambah selepas bakatnya mendapat perhatian pihak madrasah melalui TikTok sekitar tiga tahun lalu sehingga membuka peluang sebagai duta beberapa produk.
Ketika ini, Putra sudah menghafaz hampir empat juzuk al-Quran dan terus berusaha mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu melengkapkan hafazan 30 juzuk sebelum mencecah usia 18 tahun.
Menurut bapanya, komitmen terhadap hafazan tidak pernah diabaikan walaupun Putra sering berada di luar kawasan kerana menyertai pertandingan.
“Walaupun kerap menyertai kejohanan di luar sehingga dua minggu, dia tidak pernah culas menghantar rakaman hafazan secara dalam talian kepada ustaz kerana azamnya mahu cemerlang sebagai juara badminton dan hafiz al-Quran serentak,” katanya.
Persiapan menuju MSSM turut dilaksanakan secara sistematik. Putra menyertai kem latihan pusat negeri lebih awal bagi memperkukuhkan persediaan selain menggunakan kejohanan terbuka Kuala Lumpur seminggu sebelum MSSM sebagai medan menguji tahap kesiapsiagaan.
Kejayaan tersebut bagaimanapun bukan penamat kepada jadual kompetitif yang sedang dihadapinya. Dalam tempoh terdekat, Putra dijadualkan beraksi dalam Kejohanan Skyworth, Kejohanan Sukan Sekolah Agama Peringkat Negeri Kedah dan Kumpoo Cup di Johor Bahru.
Mohamad Hamim berkata beliau pernah mencadangkan supaya anaknya mengurangkan penyertaan jika berasa terlalu penat, namun Putra memilih untuk meneruskan cabaran tersebut.
“Saya beritahu kalau terlalu penat, tarik diri saja daripada kejohanan terbuka, namun dia tetap mahu beraksi merempuh jadual padat ini kerana mahu kumpul wang kemenangan untuk kegunaan masa hadapan,” katanya.
Selain mengejar kejayaan dalam sukan, Putra turut mempunyai matlamat jangka panjang yang melibatkan pembangunan perniagaan dan jenama sendiri dalam dunia badminton. Namun bagi bapanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan anaknya menamatkan SPM dengan keputusan cemerlang serta mencapai sasaran hafazan yang ditetapkan.
“Fokus utama saya bukan sukan semata-mata, biarlah dia tamat SPM dengan keputusan cemerlang serta ada bekalan 30 juzuk di dada, selepas itu barulah kita bina kerjaya sukan dan perniagaannya secara lebih serius,” katanya.