Pemain beregu wanita muda negara, Noraqilah Maisarah Ramdan, bertekad memanfaatkan tempoh tanpa kejohanan untuk memperkemaskan segala kekurangan dalam permainannya sebagai persediaan menghadapi cabaran seterusnya di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 19 tahun itu mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki selepas melakukan penilaian terhadap persembahannya dalam beberapa kejohanan sebelum ini. Pengalaman berdepan lawan yang memiliki ranking lebih tinggi turut membuka ruang buatnya mengenal pasti perkara yang perlu diberi perhatian bagi meningkatkan tahap permainan.
Menurut Noraqilah, tempoh tanpa pertandingan ketika ini menjadi peluang terbaik untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap proses penambahbaikan dalam kedua-dua disiplin yang disertainya iaitu beregu wanita dan beregu campuran.
“Banyak perkara saya belajar daripada kejohanan sebelum ini. Dalam tempoh tiada pertandingan ini, saya mahu fokus kepada penambahbaikan terhadap kelemahan masih ada dalam permainan.
“Saya akan gunakan masa ini sebaik mungkin untuk memperkemaskan aspek perlu diperbaiki supaya dapat tampil lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya ketika gandingannya, Low Zi Yu, akan beraksi di Kejohanan Remaja Asia.
Noraqilah berkata, cabaran terbesar yang dihadapinya ketika ini ialah memastikan tahap konsistensi permainan dapat dikekalkan pada tahap tinggi, terutama apabila bertemu pemain yang berada pada ranking lebih tinggi.
Beliau melihat pemain elit dunia memiliki kelebihan dari segi keupayaan mengekalkan rentak permainan sepanjang perlawanan selain jarang melakukan kesilapan mudah yang boleh memberikan mata percuma kepada lawan.
Keadaan itu menjadikan aspek kestabilan prestasi sebagai keutamaan dalam proses pembangunan permainannya bagi membolehkan dirinya lebih kompetitif apabila kembali beraksi.
“Saya rasa aspek paling penting ialah konsistensi. Apabila menentang pemain ranking lebih tinggi, mereka jarang melakukan kesilapan mudah dan sukar untuk dimatikan. Jadi saya perlu meningkatkan konsistensi permainan supaya mampu bersaing dengan lebih baik pada tahap itu,” katanya.
Dalam masa sama, Noraqilah mengakui pengalaman beraksi dalam dua acara berbeza memberikan kesan positif terhadap perkembangan keseluruhan permainannya walaupun ia memerlukan tahap kecergasan yang lebih tinggi.
Katanya, pengalaman dalam acara beregu campuran banyak membantu meningkatkan kemahiran ketika berada di depan jaring kerana peranannya dalam kedua-dua acara hampir sama.
Selain itu, tempo permainan yang lebih pantas dalam beregu campuran turut membantunya meningkatkan keupayaan membuat reaksi serta menyesuaikan diri dengan corak permainan yang lebih mencabar.
“Bermain dalam beregu campuran membantu dari segi permainan di depan jaring kerana saya banyak memainkan peranan itu dalam kedua-dua acara. Permainan beregu campuran juga lebih pantas kerana perlu berdepan pemain lelaki, jadi ia secara tidak langsung membantu meningkatkan reaksi dan kelajuan permainan saya,” katanya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Noraqilah bersama Low Zi Yu adalah menjuarai Terbuka Estonia bertaraf Siri Antarabangsa pada Januari lalu selain muncul naib juara Masters China.
Dalam acara beregu campuran, Noraqilah yang bergandingan bersama Loo Bing Kun turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila muncul juara Terbuka Sweden serta meraih gelaran naib juara pada Kejohanan Cabaran Antarabangsa Singapura.
Pencapaian tersebut menjadi antara dorongan buat pemain muda negara itu untuk terus memperbaiki prestasi dan meningkatkan tahap permainan dalam usaha tampil lebih kompetitif pada kejohanan akan datang.