Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan pasukan bola sepak kebangsaan mara ke pusingan seterusnya selepas penyingkiran awal di Piala Dunia, sambil menyifatkan isu pelantikan kepimpinan sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada prestasi mengecewakan skuad negara itu.
Menerusi hantaran di platform X, Lee mengakui beliau bukan sahaja terkejut dengan keputusan tersebut, malah benar-benar bingung memandangkan Korea Selatan sebelum ini dilihat mempunyai peluang cerah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan yang dianggap tidak terlalu sukar. Menurut beliau, keputusan itu sekali lagi menunjukkan bahawa proses pelantikan individu ke jawatan penting memberi kesan besar terhadap hala tuju sesebuah organisasi.
“Saya bukan sekadar terkejut dengan keputusan yang tidak dijangka ini, saya benar-benar bingung,” tulis Lee ketika mengulas penyingkiran Korea Selatan daripada kejohanan berkenaan.
Beliau turut mengaitkan kegagalan tersebut dengan amalan yang didakwa mengutamakan hubungan tertentu berbanding kecekapan dalam proses pelantikan. Menurutnya, apabila kepentingan kumpulan tertentu didahulukan dan individu yang tidak memiliki kemampuan sewajarnya diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin, kesannya akhirnya akan dapat dilihat melalui prestasi organisasi berkenaan.
“Sekali lagi terbukti bahawa keputusan pelantikan adalah segala-galanya. Apabila ‘kami lawan mereka’ diutamakan berbanding kecekapan dan individu yang tidak kompeten dipilih sebagai pemimpin, keputusannya jelas seperti siang hari,” katanya.
Korea Selatan menamatkan kempen Kumpulan A di tangga ketiga selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Mexico dan Afrika Selatan. Keputusan itu menyebabkan mereka gagal menghimpunkan mata yang mencukupi untuk berada dalam kelompok lapan pasukan tempat ketiga terbaik sekali gus tidak berjaya melangkah ke pusingan 32 terbaik.
Prestasi yang dipamerkan sepanjang saingan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak negara itu. Tumpuan turut terarah kepada jurulatih Hong Myung Bo yang kembali membimbing skuad kebangsaan selepas dilantik semula pada 2024.
Pelantikan semula Hong sebelum ini telah mencetuskan pelbagai dakwaan berkaitan amalan pilih kasih dan proses pengambilan yang didakwa tidak telus. Bagaimanapun, semua dakwaan berkenaan telah dinafikan oleh beliau.
Lee dalam kenyataannya turut menyifatkan kelemahan dalam proses pelantikan sebagai antara punca yang membolehkan keputusan yang tidak mengutamakan kepentingan awam berlaku. Menurut beliau, keadaan sedemikian sukar diperbetulkan sekiranya pihak yang mempunyai kuasa melantik tidak dipantau dan dipertanggungjawabkan secara menyeluruh.
“Sebab pelantikan yang gagal seperti ini – yang tidak membezakan kepentingan awam dan peribadi serta mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan umum – boleh berlaku adalah kerana amat sukar atau mustahil untuk memantau, menyemak dan mempertanggungjawabkan pihak yang mempunyai kuasa melantik,” tulis Lee.
Kenyataan itu dibuat ketika tekanan terhadap Hong terus meningkat susulan kegagalan pasukan memenuhi jangkaan pada kejohanan tersebut. Reaksi orang ramai juga semakin ketara apabila satu petisyen yang menggesa beliau dipecat mula mendapat sokongan pantas.
Petisyen yang disiarkan di laman web Perhimpunan Kebangsaan pada Khamis berjaya memperoleh jumlah tandatangan yang diperlukan bagi membolehkan semakan awal dijalankan. Pada masa sama, beberapa hantaran di media sosial yang memaparkan premis meletakkan notis melarang Hong memasuki kawasan mereka turut menjadi tular di Korea Selatan.
Perkembangan itu menggambarkan tahap kekecewaan yang dirasai sebahagian penyokong terhadap pencapaian skuad kebangsaan serta pengurusan pasukan selepas kempen Piala Dunia berakhir lebih awal daripada jangkaan.
Lee turut menegaskan bahawa kegagalan Korea Selatan untuk mara ke pusingan seterusnya bukan sekadar isu keputusan di atas padang, sebaliknya dilihat mempunyai kaitan dengan aspek pengurusan organisasi dan proses membuat keputusan yang lebih menyeluruh.
“Kegagalan untuk layak..yang menyebabkan orang ramai berasa kecewa, nampaknya berpunca daripada kegagalan organisasi dan pelantikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan menjalankan siasatan menyeluruh bagi menilai keadaan sebenar yang membawa kepada kegagalan tersebut. Menurut Lee, hasil siasatan itu perlu digunakan untuk mengenal pasti punca sebenar, merangka langkah penambahbaikan dan memastikan kelemahan sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya meminta Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan menyiasat secara menyeluruh keadaan sebenar insiden ini, menganalisis puncanya dan merangka langkah bagi mengelakkan ia berulang serta memastikan penambahbaikan.”