Selepas dua dekad tanpa pingat emas badminton di Sukan Asia, Malaysia kembali membawa harapan besar ke Aichi-Nagoya dengan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani diletakkan sebagai antara sandaran utama negara untuk menamatkan penantian panjang itu.
Pertandingan badminton dijadual berlangsung di Gimnasium Perbandaran Ichinomiya City, Aichi dari 20 hingga 29 September ini dan Sze Fei-Izzuddin sudah menetapkan sasaran tertinggi untuk kempen berkenaan.
“Kami rasa mempunyai peluang yang baik walaupun banyak lawan kuat di Sukan Asia.
“Namun, sasaran kami tinggi dan sudah tentu kami mahu emas,” kata Izzuddin.
Malaysia kali terakhir memenangi emas badminton di Sukan Asia menerusi beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi Doha 2006. Pada Hangzhou 2022 pula, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi satu-satunya penyumbang pingat negara selepas meraih gangsa.
Bekas pemain beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek menilai Sze Fei-Izzuddin sebagai taruhan terbaik Malaysia untuk memburu emas. Pada masa sama, beliau mahu gandingan baharu Aaron Chia-Tee Kai Wun berani menyahut cabaran yang menanti.
“Perjuangkan pingat, mungkin emas. Sebab di situlah saya nampak peluang kita.
“Apapun, skuad sudah dipilih, jadi perjuangkan peluang itu,” kata Jalani ketika ditemui baru-baru ini.
Namun, misi itu dijangka menuntut tahap persediaan, ketahanan dan konsistensi tinggi apabila Malaysia perlu berdepan kelompok beregu terbaik dunia. Antara pencabar utama ialah Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, Fajar Alfian-Shohibul Fikri dari Indonesia, juara dunia China Liang Wei Keng-Wang Chang serta juara bertahan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Jalani turut mengingatkan Sze Fei-Izzuddin supaya benar-benar bersedia selepas mereka menarik diri daripada Masters China. Beliau melihat saingan beregu lelaki di Aichi-Nagoya sangat sengit, lebih-lebih lagi apabila hanya empat pingat tersedia dalam acara itu.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky juga meletakkan harapan kepada Sze Fei-Izzuddin, tetapi tidak menolak kemungkinan Aaron-Kai Wun mencipta kejutan.
“Kita sememangnya mengharapkan Sze Fei-Izzuddin, tetapi itu tidak bermakna kita mengetepikan Aaron-Kai Wun.
“Semua orang mahu kita menang emas kerana Sukan Asia berlangsung empat tahun sekali,” katanya.
Dalam beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah perlu meningkatkan prestasi selepas terkeluar daripada kelompok empat pilihan utama susulan kemerosotan prestasi dan masalah kecederaan belakang Pearly yang berulang. Gandingan ranking kelima dunia itu bakal berdepan Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan serta pasangan tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
Peluang Malaysia dalam beregu campuran turut terjejas selepas Toh Ee Wei menjalani pembedahan lutut dan menjalani pemulihan di Melbourne sejak Jun, menyebabkan Chen Tang Jie perlu bergandingan dengan Cheng Su Yin. Goh Soon Huat-Shevon Lai pula mempunyai peluang memburu pingat jika mampu mengulangi prestasi yang membawa mereka ke separuh akhir Masters China baru-baru ini.
Bagi perseorangan, Leong Jun Hao dan Justin Hoh menggalas cabaran lelaki dengan tugas berat menanti berikutan kehadiran pemain elit diketuai pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi. Cabaran wanita menerusi K Letshanaa dan Wong Ling Ching juga tidak kurang mencabar apabila mereka perlu berdepan juara Olimpik Korea Selatan, An Se Young, bersama barisan pemain handalan lain.