SUKAN

Piala Dunia B-15: Penjaga gol protes biarkan penalti masuk

Perlawanan antara England dan Bolivia dalam Festival dan Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) FIFA 2026 berakhir dengan kontroversi apabila penjaga gol Bolivia secara terbuka enggan menyelamatkan sepakan penalti sebagai tanda membantah keputusan pengadil.

Insiden luar biasa itu berlaku pada penghujung perlawanan di Baku, Azerbaijan, Jumaat lalu, ketika kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebelum England diberikan sepakan penalti pada minit ke-41.

Keputusan pengadil mencetuskan bantahan keras pemain dan barisan kejurulatihan Bolivia yang berpendapat kekasaran terhadap penyerang England, Emmanuel Famokun, berlaku di luar kotak penalti.

Rakaman kejadian memperlihatkan pemain England itu dijatuhkan ketika cuba melakukan gerakan ke kawasan berbahaya, namun lokasi sentuhan menjadi pertikaian apabila pengadil terus menunjuk ke arah titik penalti.

Pemain Bolivia segera mengerumuni pengadil untuk mendapatkan penjelasan, manakala seorang jurulatih pasukan Amerika Selatan itu turut memasuki padang bagi menunjukkan kawasan yang dipercayainya menjadi lokasi sebenar kekasaran.

Tindakan tersebut menyebabkan pengadil melayangkan kad kepada jurulatih berkenaan serta beberapa anggota barisan kejurulatihan lain.

Bantahan yang berlarutan selama beberapa minit bagaimanapun tidak mengubah keputusan pengadil yang tetap memberikan sepakan penalti kepada England.

Namun, tindakan susulan pemain Bolivia mencetuskan perhatian apabila mereka memilih untuk tidak mempertahankan kawasan penalti seperti kebiasaan.

Sebahagian besar pemain pasukan itu bergerak ke tepi padang berhampiran bangku simpanan, meninggalkan Famokun bersedia mengambil sepakan penalti tanpa tekanan daripada pemain lawan di sekitar kotak penalti.

Lebih mengejutkan, penjaga gol Bolivia berdiri berhampiran tiang kanan pintu gol dengan kedua-dua tangan di pinggang dan langsung tidak menunjukkan usaha untuk menyelamatkan sepakan berkenaan.

Famokun kemudian menolak bola masuk ke dalam gawang bagi memastikan England kembali mendahului 3-2.

Pengadil meniup wisel penamat sejurus selepas jaringan tersebut, sekali gus mengesahkan kemenangan England dalam perlawanan yang berakhir dengan suasana tegang.

Pemain England segera meraikan gol kemenangan itu, namun pemain Bolivia dilihat memberikan tepukan secara sinis ke arah pengadil sebagai tanda tidak berpuas hati.

Situasi semakin tegang apabila beberapa pemain Bolivia menghampiri dan mengerumuni pengadil untuk mempertikaikan keputusan yang dianggap menjejaskan peluang mereka mendapatkan keputusan positif.

Pemain England kemudian dilihat cuba melindungi pengadil dan membantu mengawal keadaan sebelum pegawai pertandingan turut campur tangan.

Insiden tersebut mendapat perhatian kerana melibatkan pertandingan peringkat umur yang dianjurkan FIFA dan menyaksikan tindakan protes luar biasa daripada sebuah pasukan kebangsaan.

Menurut laporan media antarabangsa, FIFA sedang menunggu laporan delegasi perlawanan sebelum menentukan sama ada tindakan susulan perlu diambil berhubung kejadian itu.

Kemenangan 3-2 tersebut turut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak England (FA), yang merekodkan Famokun sebagai penjaring gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada penghujung aksi.

Bagaimanapun, kontroversi berhubung lokasi kekasaran dan tindakan protes Bolivia terus menjadi perhatian selepas rakaman kejadian berkenaan tersebar di media sosial.