SUKAN

Debat dah berakhir, Terimalah Hakikat ‘ – Ronaldo

Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo, menegaskan sudah tiada lagi ruang untuk perdebatan mengenai status pemain terhebat sepanjang zaman apabila beliau mengangkat Lionel Messi sebagai yang terbaik selepas penyerang Argentina itu meledak hatrik ketika menentang Algeria.

Aksi pembukaan Piala Dunia itu menyaksikan Messi mengetuai juara bertahan Argentina mencatat kemenangan 3-0, sekali gus memulakan misi mempertahankan kejuaraan dengan keputusan meyakinkan. Prestasi cemerlang pemain Inter Miami itu turut menarik perhatian Ronaldo yang tidak berselindung dalam memberikan pujian.

Bercakap kepada media Portugal, A Bola, selepas perlawanan berkenaan, Ronaldo menyifatkan persembahan Messi sebagai bukti yang menamatkan segala perdebatan berkaitan status pemain terbaik sepanjang zaman atau GOAT.

Menurut bekas penyerang Brazil itu, konsistensi yang dipamerkan Messi dari musim ke musim dan keupayaannya menyerlah di pentas terbesar dunia membuktikan kedudukannya sukar dipertikaikan.

“Sudah tiba masanya untuk dunia berhenti berdalih dan menerima hakikat beliau (Messi) adalah pemain terbaik sepanjang zaman,” kata Ronaldo.

“Beliau terus membuktikannya pada setiap musim dan di pentas Piala Dunia, namun masih ada pihak yang meraguinya. Ini adalah malam bersejarah yang tidak akan dilupakan dan akan kekal dalam buku sejarah selama-lamanya.”

Persembahan bertenaga Messi di Kansas City bukan sahaja memastikan Argentina bermula dengan langkah kanan, malah membolehkannya mencipta sejarah peribadi apabila menghasilkan hatrik pertama sepanjang kariernya di Piala Dunia.

Tiga jaringan tersebut turut melonjakkan jumlah keseluruhan golnya dalam kejohanan itu kepada 16 gol. Rekod tersebut menyaksikan beliau memintas kedudukan Ronaldo serta menyamai pencapaian legenda Jerman, Miroslav Klose, sebagai penjaring terbanyak bersama dalam sejarah Piala Dunia.

Mengulas pencapaian berkenaan, Ronaldo mengakui kejayaan Messi memecahkan rekod bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Argentina hadir sebagai juara bertahan.

“Rekod dicipta untuk dipecahkan dan individu yang memecahkannya kali ini langsung tidak mengejutkan mana-mana peminat bola sepak di dunia. Tambahan pula, Argentina adalah juara bertahan kejohanan ini,” katanya.

Kemenangan tersebut turut memastikan Argentina mengelakkan episod mengecewakan seperti yang dialami pada Piala Dunia Qatar 2022 apabila mereka dikejutkan Arab Saudi dalam perlawanan pertama.

Ketika Messi menikmati malam gemilang bersama Argentina, Cristiano Ronaldo pula berdepan situasi berbeza apabila Portugal gagal memanfaatkan peluang untuk memulakan kempen dengan kemenangan.

Berdepan DR Congo, skuad kendalian Roberto Martinez sekadar terikat 1-1, manakala Cristiano Ronaldo gagal memberi impak yang diharapkan.

Penyerang veteran itu turut mensia-siakan beberapa peluang keemasan pada babak kedua, menyebabkan beliau kini gagal menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut di kejohanan penting.

Perbezaan ketara yang melibatkan dua ikon bola sepak dunia itu dilihat mengukuhkan lagi kenyataan Ronaldo mengenai kedudukan Messi dalam hierarki bola sepak moden. Lebih mengagumkan, kapten Argentina tersebut berjaya kembali mempamerkan aksi klinikal walaupun sebelum ini berdepan kecederaan hamstring.

Selepas kemenangan ke atas Algeria, Argentina kini mengalihkan perhatian kepada saingan Kumpulan B dengan sasaran meneruskan momentum positif dalam usaha menjadi pasukan ketiga dalam sejarah yang berjaya mempertahankan gelaran dunia.

Anak buah Lionel Scaloni dijadual berdepan Austria pada Isnin, manakala Portugal akan bertemu Uzbekistan bagi memburu kemenangan pertama mereka dalam kejohanan kali ini.