SUKAN

Prakkk! Piala Dunia 2026 Jadi detik Ngeri

Kanada menikmati kemenangan besar 6-0 ke atas Qatar, namun kegembiraan itu dibayangi kecederaan serius yang menimpa Ismael Kone dalam aksi yang berlangsung di Vancouver, awal pagi tadi.

Pemain tengah Kanada itu mengalami kecederaan yang dipercayai patah tulang kaki selepas bertembung dengan pemain Qatar, Assim Madibo, ketika cuba membina serangan pada minit ke-50. Insiden tersebut turut menyaksikan Madibo diperintahkan keluar padang apabila dilayangkan kad merah.

Kecederaan yang dialami Kone segera mengundang kebimbangan apabila pemain itu terpaksa diusung keluar padang di hadapan penyokong sendiri. Situasi berkenaan turut mengubah fokus perlawanan yang sebelum itu dikuasai Kanada dengan persembahan meyakinkan.

Selepas tamat perlawanan, jurulatih Kanada, Jesse Marsch, berkongsikan perkembangan terkini mengenai keadaan pemain tersebut yang kini berada di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Marsch, Kone dijangka menjalani pembedahan selepas dilaporkan mengalami patah tulang kaki akibat pelanggaran keras bersama Madibo.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejadian berkenaan berlaku sangat hampir dengan kawasan mereka berada dan bunyi yang terhasil daripada kecederaan tersebut dapat didengari oleh ramai pihak.

“Kejadian itu berlaku betul-betul di hadapan kami dan ramai boleh mendengar bunyi tulangnya patah.

“Saya masih belum bercakap dengan dia, tetapi sekarang Ismale sudah berada di hospital. Dia sedang bersedia untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Walaupun Kanada berjaya meraih kemenangan dengan jaringan besar, perhatian selepas perlawanan lebih tertumpu kepada keadaan Kone. Pemain itu menerima rawatan segera sebaik sahaja insiden berlaku sebelum dibawa keluar dari padang untuk pemeriksaan lanjut.

Insiden berkenaan memberikan kesan mendalam kepada suasana perlawanan apabila pemain kedua-dua pasukan serta pegawai yang berada di tepi padang segera memberikan perhatian terhadap keadaan pemain terbabit.

Dalam masa sama, Marsch mendedahkan bahawa Madibo sendiri hadir ke bilik persalinan Kanada bagi menyampaikan permohonan maaf kepada Kone susulan pelanggaran yang berlaku.

Pengendali berkenaan memaklumkan tindakan itu dilakukan selepas tamat perlawanan sebagai tanda rasa kesal terhadap insiden yang berlaku di atas padang.

“Pemain itu memohon maaf kepada Ismael, dia datang ke bilik persalinan,” tambahnya.

Kecederaan serius yang menimpa Kone menjadi topik utama selepas tamat perlawanan, mengatasi perhatian terhadap kemenangan besar yang diraih Kanada. Walaupun pasukan tuan rumah berjaya membolosi gawang Qatar sebanyak enam kali, insiden yang berlaku pada minit ke-50 jelas meninggalkan kesan tersendiri kepada semua yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Ketika Kanada meraikan kemenangan bergaya di laman sendiri, tumpuan penyokong bola sepak dunia kini terarah kepada perkembangan pemulihan Kone yang sedang mendapatkan rawatan di hospital serta persiapan untuk menjalani pembedahan selepas dilaporkan mengalami patah tulang kaki.