SUKAN

Piala Dunia : Jepun buat Brazil merana sebelum mara

Brazil meneruskan kemaraan dalam Piala Dunia 2026 apabila menempah tempat ke pusingan 16 terakhir selepas menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi pusingan 32 di Stadium Houston, sebentar tadi. Walaupun ketinggalan lebih awal, skuad bimbingan Carlo Ancelotti berjaya bangkit sebelum Gabriel Martinelli muncul penyelamat menerusi jaringan kemenangan pada penghujung perlawanan.

Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-29 hasil tindakan Kaishu Sano yang memintas hantaran lemah Danilo sebelum melakukan larian ke arah gawang dan menyempurnakan rembatan yang menewaskan Alisson Becker.

Gol itu menyuntik keyakinan Jepun yang kemudian memperagakan pertahanan cukup kemas sepanjang babak pertama. Brazil berdepan kesukaran mencipta ruang apabila setiap gerakan mereka dipatahkan menerusi disiplin tinggi dipamerkan pemain Samurai Blue.

Selepas rehat, Brazil kembali dengan pendekatan berbeza apabila meningkatkan tempo permainan serta lebih agresif dalam melancarkan serangan. Perubahan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Casemiro menyamakan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-56.

Gol penyamaan berkenaan menghidupkan semula harapan Brazil yang terus memberi tekanan tanpa henti ke arah kubu Jepun. Walaupun Jepun masih bertahan dengan baik, Brazil tidak mengendurkan asakan dalam usaha mencari gol kemenangan sebelum tamat masa sebenar.

Ketika ramai menjangkakan perlawanan akan berlanjutan ke masa tambahan, Martinelli memastikan perkara itu tidak berlaku apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-95.

Gol dramatik itu bukan sahaja membawa Brazil ke pusingan seterusnya, malah turut mencatat sejarah sebagai jaringan kemenangan paling lewat dalam masa sebenar perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia sejak 1966.

Brazil kini akan menanti pemenang perlawanan antara Norway dan Ivory Coast di New Jersey, awal pagi esok. Kemenangan dramatik itu memberi kelebihan dari segi moral buat pasukan yang berjaya mengharungi tekanan tinggi sepanjang perlawanan.

Sebaik tamat aksi, suasana penuh emosi menyelubungi kem Brazil apabila pemain dan pegawai meraikan kejayaan di tengah padang. Sebaliknya, pemain Jepun hanya mampu menerima hakikat tersingkir selepas hampir mencipta kejutan ke atas juara dunia lima kali itu.

Martinelli berkata beliau masih sukar mempercayai apa yang berlaku selepas muncul wira kemenangan Brazil.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan ini. Mungkin saya hanya akan benar-benar menyedarinya selepas beberapa ketika.

“Syukur kepada Tuhan kerana saya dapat menjaringkan gol hari ini. Saya sangat gembira untuk pasukan yang berjuang habis-habisan. Saya benar-benar kehilangan kata-kata,” katanya.

Ancelotti pula menjelaskan Brazil memiliki banyak pilihan dalam pasukan, namun beliau memilih mengekalkan struktur permainan walaupun perlawanan semakin menghampiri penghujung masa sebenar.

Menurut beliau, Jepun memberikan tentangan yang sangat sukar menerusi organisasi permainan yang kemas serta intensiti tinggi sehingga memaksa Brazil bekerja keras sepanjang perlawanan.

“Kami mempunyai banyak pilihan sama ada di atas padang mahupun di bangku simpanan. Jepun bukan lawan yang mudah. Mereka sangat teratur dan bermain dengan intensiti tinggi.

“Saya sebenarnya menyimpan Neymar untuk masa tambahan. Saya bercadang memasukkannya pada minit ke-105 jika kami masih gagal menjaringkan gol kedua. Saya tidak mahu mengubah struktur pasukan kerana kami bermain dengan baik,” kata Ancelotti.

Kemenangan itu memastikan Brazil terus berada dalam saingan kejuaraan selepas berjaya mengatasi cabaran sukar daripada Jepun yang mempamerkan disiplin tinggi, terutama pada babak pertama. Kebangkitan yang dipamerkan selepas rehat akhirnya menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan apabila Brazil memanfaatkan peluang yang hadir pada saat paling kritikal untuk menempah tiket ke pusingan 16 terakhir.