SUKAN

Ahmad Jais dedah punca kekalahan memalukan Malaysia kepada Filipina

Kekalahan kepada Filipina pada separuh akhir Piala Raja Thai 2026 minggu lalu mencetuskan persoalan besar terhadap tahap kesiapsiagaan regu sepak takraw negara, terutama selepas barisan berpengalaman yang diberikan kepercayaan gagal menampilkan prestasi diharapkan.

Keputusan itu menjadi lebih mengecewakan apabila pemain yang diturunkan bukan terdiri daripada barisan muda atau kurang pengalaman. Sebaliknya, regu negara dibentuk daripada pemain Negeri Sembilan Antlers yang sebelum ini muncul juara tiga kali berturut-turut dalam saingan STL Champions Cup.

Muhammad Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari gagal memberikan tentangan yang diperlukan ketika berdepan Filipina sebelum tewas dalam aksi separuh akhir. Kekalahan tersebut turut mencipta sejarah hitam apabila Malaysia kecundang buat kali pertama kepada Filipina.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengakui prestasi keseluruhan pasukan berada di bawah tahap yang diperlukan, khususnya dalam aspek pertahanan dan serangan yang gagal memberi tekanan secara konsisten kepada lawan.

Beliau turut mengenal pasti lambungan bola daripada apit kanan kepada tekong sebagai antara kelemahan paling ketara yang menjejaskan keberkesanan corak permainan regu negara.

“Kalau saya lihat antara kelemahan yang paling ketara adalah daripada segi pertahanan dan serangan pasukan kita dan yang paling ketara adalah lambungan bola daripada apit kanan kepada tekong.

“Kita tak boleh main secara bertahan. Kita mesti menyerang, kalau kita hanya bertahan, kita agak sukar untuk bersaing kerana mana-mana pasukan akan membuat serangan bertali arus menerusi tekong,” katanya.

Penilaian itu menunjukkan Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada pendekatan bertahan apabila berdepan pasukan yang mampu mengekalkan tekanan menerusi servis dan serangan secara berterusan. Kelemahan ketika membina serangan juga menyebabkan regu negara berdepan kesukaran untuk mengawal tempo perlawanan dan memaksa lawan berada dalam tekanan.

Bagaimanapun, Ahmad Jais tidak mahu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pemain secara individu. Sebaliknya, beliau menegaskan keseluruhan corak permainan perlu diperbaiki selepas Filipina berjaya menggunakan servis yang konsisten serta tekanan berterusan sehingga memaksa pemain negara melakukan kesilapan.

Situasi tersebut kini menjadi perhatian utama menjelang Sukan Asia apabila pembentukan regu ketiga masih menjadi antara persoalan terbesar dalam usaha menyediakan skuad yang mampu bersaing pada tahap tertinggi.

“Untuk Sukan Asia, kita perlu lebih fokus, lebih-lebih lagi melalui regu ketiga daripada segi balingan atau lambungan bola apit kanan kepada tekong,” katanya.

Kekalahan di Piala Raja Thai itu sekali gus memberikan gambaran jelas mengenai aspek yang perlu diperbaiki. Keupayaan menyerang, kestabilan pertahanan, ketepatan lambungan dan kemampuan mengekalkan tekanan perlu berada pada tahap lebih konsisten sekiranya regu negara mahu mengelakkan kelemahan sama berulang dalam pertandingan akan datang.