SUKAN

“Kita yang duduk di luar boleh nampak ” — Chong wei

Barisan pemain badminton negara tidak akan dinilai hanya berdasarkan keputusan sesuatu kejohanan, sebaliknya aspek semangat juang, prestasi keseluruhan serta kelemahan teknikal turut menjadi ukuran utama sebelum sebarang keputusan dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan pihaknya tidak berhasrat menggugurkan mana-mana pemain secara terburu-buru kerana setiap prestasi perlu diperhalusi secara menyeluruh menerusi kejohanan yang disertai.

Menurutnya, keputusan menang atau kalah sahaja tidak mencukupi untuk menentukan tahap sebenar seseorang pemain. Sebaliknya, cara mereka beraksi, tahap semangat melawan serta reaksi ketika berdepan lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi juga perlu diberikan perhatian.

“Kita tidak akan buang pemain begitu saja, sebab kita tengok prestasi. Sekarang prestasi semua, kita tidak boleh kata bagus sangat pun tidak, teruk sangat pun tidak.

“Tetapi kita tengok dan teliti balik, tengok cara dia main, cara dia punya ‘fighting spirit’ (semangat melawan). Contohnya kita hantar beregu campuran, dia lawan nombor satu, dia fight habis-habisan dan kalah set ketiga, kita kena terima,” katanya.

Chong Wei berkata, kekalahan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk terus menghukum pemain sekiranya mereka sudah memberikan tentangan maksimum dan mempamerkan kesungguhan sepanjang perlawanan.

Sebaliknya, setiap keputusan perlu dianalisis bagi menentukan faktor yang menyebabkan kekalahan, termasuk kemungkinan kelemahan dari aspek teknikal atau tahap kecergasan yang belum berada pada tahap diperlukan.

“Kita kena teliti balik apa yang dia kalah, dia kalah dengan siapa dan bagaimana semangat melawan dia di tempat itu.

“Ini sangat penting untuk jurulatih dan kita kena teliti semula setiap kejohanan. Kalau dia betul-betul main, berjuang habis-habisan dan sudah beri segala-galanya, kita kena terima,” katanya.

Legenda badminton negara itu menjelaskan tanggungjawab jurulatih tidak terhenti selepas menyediakan pemain untuk menyertai kejohanan. Sebaliknya, barisan kejurulatihan perlu mengenal pasti setiap kelemahan yang muncul selepas perlawanan dan memastikan aspek berkenaan diberikan perhatian dalam proses seterusnya.

“Mungkin dia kurang dari segi teknikal atau mungkin kecergasan dia tidak cukup. Itulah jurulatih kena ulas balik apa yang dia kalah dalam kejohanan ini dan apa yang dia kurang.

“Kita yang duduk di luar boleh nampak, jurulatih boleh nampak. Ini tanggungjawab jurulatih,” katanya.

Chong Wei turut menyatakan keyakinan terhadap barisan kejurulatihan BAM termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky serta semua ketua jurulatih dalam mengenal pasti perkara yang perlu ditingkatkan oleh pemain.

Katanya, pemantauan secara konsisten amat penting bagi memastikan perkembangan setiap pemain dapat dinilai dalam tempoh berterusan dan tidak bergantung kepada keputusan daripada satu kejohanan sahaja.

“Saya fikir Rexy dan semua ketua jurulatih tahu apa yang pemain kurang. Ini sangat penting dan sekarang jurulatih kena jaga prestasi pemain,” katanya.

Pendekatan itu meletakkan prestasi keseluruhan, semangat juang, kemampuan menghadapi tekanan pertandingan serta tahap teknikal dan kecergasan sebagai komponen penting dalam proses penilaian pemain negara.