Malaysia meneruskan kempen cemerlang dalam saingan hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas membelasah Thailand 10-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan B, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam persaingan memburu tempat ke separuh akhir.
Speedy Tigers kini mencatat tiga kemenangan berturut-turut selepas sebelum ini turut meraih kemenangan bergaya ke atas Uzbekistan dan Oman. Keputusan positif itu memberikan Malaysia kedudukan lebih baik menjelang dua perlawanan terakhir kumpulan yang dijangka lebih mencabar apabila berdepan Pakistan dan China.
Walaupun mencatat kemenangan besar, ketua jurulatih negara Brendan Carolan tidak mahu pemain terlalu selesa kerana dua aksi seterusnya akan menjadi penentu penting dalam usaha Malaysia menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.
“Kami mempunyai dua hari untuk pulih sebelum berdepan Pakistan dan itu adalah perlawanan yang sangat penting. Saya fikir tiga perlawanan pertama sudah meletakkan kami dalam kedudukan yang baik.
“Kami kini cuba menggunakan prinsip permainan yang berbeza berdasarkan apa yang mungkin kami hadapi dalam dua perlawanan akan datang.
“Sudah tentu kami tahu perlu memenangi dua perlawanan seterusnya untuk menjuarai kumpulan dan pada masa sama memberi tekanan kepada mereka,” katanya.
Dalam aksi menentang Thailand, Malaysia terpaksa menunggu sehingga minit ke-18 untuk membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari.
Muhajir Abdu Rauf kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-20 sebelum Azrai Aizad Abu Kamal menghasilkan jaringan padang seminit selepas itu untuk meletakkan Malaysia selesa 3-0.
Aminuddin Zain menjaringkan gol keempat menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-28. Faizal kemudian menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-35 dan Ashran Hamsani turut meledak pada minit sama, membolehkan Malaysia membawa kelebihan 6-0 pada separuh masa pertama.
Selepas rehat, Azrai menjaringkan gol keduanya pada minit ke-41. Shello Silverius meneruskan penguasaan Malaysia menerusi gol pada minit ke-55 sebelum Faiz Helmi Jali menambah jaringan kesembilan pada minit ke-59.
Akhimullah Anuar Esook menutup pesta gol Malaysia pada minit ke-60 untuk melengkapkan kemenangan 10-0.
Carolan menjelaskan tiga perlawanan awal dimanfaatkan bukan sahaja untuk memburu kemenangan, tetapi juga bagi mempersiapkan pasukan menghadapi dua perlawanan berikutnya menerusi beberapa pendekatan dan penyesuaian taktikal.
“Begitulah keadaannya. Kami memberi tumpuan kepada beberapa perkara dalam tiga perlawanan pertama supaya bersedia untuk dua aksi seterusnya.
“Saya fikir pemain semakin baik dan mereka berada dalam keadaan yang bagus. Kami sememangnya pasukan yang baik dalam serangan, jadi lawan akan cuba melakukan lebih baik dalam menangani pukulan sudut penalti kami dan itu adalah antara perkara yang perlu kami ubah suai,” katanya.
Selain mengekalkan ketajaman serangan, Carolan turut memberi perhatian kepada pertahanan terutama ketika berdepan situasi pukulan sudut penalti lawan.
“Saya fikir itu antara perkara kritikal yang perlu kami perbaiki. Kami perlu memastikan tidak memberikan terlalu banyak pukulan sudut penalti kepada lawan dan pada masa sama memastikan pertahanan pukulan sudut penalti kami berada pada tahap yang baik.
“Kami sedar apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan keputusan positif menentang mereka,” katanya.
Dengan Pakistan menjadi cabaran seterusnya, tempoh rehat dua hari dianggap penting bagi memastikan pemain kembali berada dalam keadaan terbaik.
Tiga kemenangan awal memberikan asas kukuh kepada Malaysia, namun dua baki perlawanan akan menentukan sejauh mana Speedy Tigers mampu mengekalkan konsistensi prestasi dan mengesahkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik pertandingan.